Anda di sini

Eksesais Borneo uji kemampuan armada TLDM di perairan ESSZone

Advertisement

SANDAKAN: Eksesais Perang Borneo Siri 2 tahun ini, yang diadakan di perairan Laut Sulu semalam, berjaya mencapai matlamat dalam menguji kemampuan dan kesiagaan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Eksesais itu diketuai Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob melibatkan lima kapal TLDM iaitu Kapal Auksiliari (KA) Tun Azizan, Kapal Diraja (KD) Todak, KD Baung dan KD Sri Johor, KD Sri Perlis serta bot tempur CB 90 dan bot pemintas Silverbreeze. 

Latihan ini merupakan yang pertama pada tahun ini dan kali kedua dikoordinasikan oleh Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) semenjak  pengoperasian markas berpindah ke daerah ini dari Kota Kinabalu.

Abdul Rahman yang turut mengikuti pelayaran itu bersama KD Todak, berpuas hati dengan tahap kesiagaan kapal-kapal TLDM serta kecekapan krunya dalam menghadapi pelbagai senario peperangan, terutama ancaman di permukaan air. 

Ia penting dalam menghadapi peperangan atau situasi ancaman musuh yang tidak terjangka khasnya di wilayah pantai timur Sabah atau Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya pelaksanaan eksesais ini bertujuan untuk mengimbangi perkembangan teknologi pertahanan dan persekitaran dinamik dalam aspek peperangan maritim yang memerlukan perancangan bersepadu dan mantap. 

Beliau berkata latihan ini mampu melipatgandakan lagi tahap kesiagaan, kecekapan dan tahap profesionalisme anggota dan keupayaan aset di bawah Mawilla 2.  

Eksesais yang bermula seawal jam 7 pagi dan berakhir 5 petang itu dimulai dengan Latihan Pertahanan Pangkalan di Pangkalan TLDM Sandakan yang melibatkan pegawai dan anggotabertugas di pangkalan.

Latihan pertahanan pangkalan itu melibatkan simulasi serangan musuh terhadap kawasan-kawasan strategik di daratan dengan kemuncak serangan adalah kapal-kapal diarahkan untuk ke laut bagi menghadapi ancaman pertempuran di laut.   

Pertempuran fasa laut dimulai dengan latihan laluan bebas periuk api serta latihan mencegah kerosakan akibat peperangan dan juga latihan berbentuk injek bagi menguji kewaspadaan dan kecekapan kru kapal seperti latihan kebakaran dan mencegah kebanjiran bagi meningkatkan kemahiran kru. — Bernama

Advertisement