Anda di sini

Dua ‘Datuk’ didakwa menipu projek perumahan 1Malaysia

Advertisement

Enam kontraktor menjadi mangsa dengan kerugian RM5.36 juta

 Jali (dua kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya semalam atas enam tuduhan menipu enam kontraktor berhubung Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia membabitkan kerugian RM5.36 juta, tiga tahun lalu. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Jali (dua kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya semalam atas enam tuduhan menipu enam kontraktor berhubung Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia membabitkan kerugian RM5.36 juta, tiga tahun lalu. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Pengerusi Eksekutif Koperasi Hartanah Malaysia Berhad Datuk Jali Sekak dan pensyarah sambilan Datuk Dr Mohd Nasirudin Othman mengaku tidak bersalah di empat Mahkamah Sesyen berasingan di sini semalam, atas enam tuduhan menipu enam kontraktor berhubung Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia membabitkan kerugian RM5.36 juta, tiga tahun lalu.

Jali, 52, dan Mohd Nasirudin, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan empat hakim, Norshila Kamaruddin, Hilmiah Yusof, Azwarnida Affandi dan Mabel S. Muttiah.

Dua isteri Jali iaitu Norhaizan Yahya, 45, dan Nur Nadia Yusof, 30, turut didakwa atas pertuduhan bersubahat dan menyalahgunakan wang membabitkan jumlah RM2.56 juta berhubung penipuan pembinaan rumah mampu milik yang tidak wujud.

Mengikut kesemua pertuduhan, Jali yang juga bekas Pengerusi Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB) dan Mohd Nasirudin didakwa telah menipu enam individu dengan memperdaya kesemua mangsa untuk mempercayai bahawa projek Perumahan Pembinaan Rumah Mampu Milik 1Malaysia yang ditawarkan kepada enam syarikat oleh KPHPB yang mana pembinaan itu tidak wujud.

Pembinaan rumah itu didakwa akan dilaksanakan di Mukim Labis, Segamat, Johor: Sg. Soi, Kuantan, Pahang; Mentakab, Pahang; dan tiga tempat di Perak iaitu di Mukim Pg. Bharu, Setiawan dan Bidor.

Perbuatan mereka telah mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM5,360,000 sebagai bayaran bon pelaksanaan untuk menjadi kontraktor projek perumahan itu yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdaya sedemikian.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan semua perbuatan itu di Koperasi Putrajaya Berhad, Putra Heights, Subang Jaya antara September 2013 dan Februari 2014 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Nor Nadia pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan empat individu termasuk Jali dan Mohd Nasirudin, untuk menipu dengan memperdayakan P. R. Parry, 57, sehingga mangsa mempercayai bahawa Projek Pembinaan Rumah Mampu Milik 1Malaysia yang ditawarkan kepada syarikat Friendly Field Sdn Bhd oleh KPHPB di tapak Kampung Sri Rahmat, Segamat, Johor adalah wujud.

Perbuatan itu telah mendorong lelaki tersebut menyerahkan wang berjumlah RM1.2 juta kepada KPHPB sebagai bayaran bon pelaksanaan untuk menjadi kontraktor projek perumahan tersebut, di mana mangsa tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdayakan sedemikian.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, Nor Nadia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM700,000 milik Abdul Razak Nazri, 57, yang dimasukkan dalam akaun bank Pro Speed Resources milik syarikat itu  mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Jali turut didakwa bersama-sama Nor Haizan dan Ahmad Sabki Ahmad Yusof, 48, atas pertuduhan menipu Mohd Fauzi Sail, 52, iaitu perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang RM660,000 kepada KPHPB sebagai bayaran bon pelaksanaan untuk menjadi kontraktor projek perumahan yang tidak wujud di Bidor, Perak.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Jali diikat jamin RM260,000, Mohd Nasirudin pula RM230,000, Nor Nadia RM70,000 manakala Norhaizan dan Ahmad Sabki masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan terhadap semua tertuduh iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani, Shafiq Hasim, Norazalina Razali dan Fazeedah Faik manakala peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili  Jali dan Mohd Nasirudin memberitahu media bahawa kesemua tertuduh gagal membayar wang jaminan dan tertuduh lelaki dihantar ke Penjara Sungai Buloh manakala tertuduh wanita dihantar ke Penjara Kajang. — Bernama

Advertisement