MUAR: Seorang buruh pemasang mozek dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian teman wanitanya, empat tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Halijah Abbas menjatuhi hukuman itu setelah Tan Jiann Fah, 47, mengaku bersalah, dan beliau turut memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 16 September 2016.
Bapa empat anak itu mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Sebelum ini, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat namun dipinda kepada 304 kanun yang sama.
Dalam penghakimannya, Halijah berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, selepas meneliti dokumentasi dan segala keterangan, wujud keraguan munasabah yang membolehkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Tan mengaku bersalah menyebabkan kematian Goh Poh May, 40, warganegara Singapura, di sebuah premis di Taman Saujana Bistari 2, Taman Saujana, Kluang, Johor kira-kira jam 6.30 petang pada 24 Jun 2014.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam S.Vijayaretnam. — Bernama