Anda di sini

Buruh maut ditembak rakan ketika memburu

Advertisement

RANAU: Seorang buruh kasar maut selepas ditembak rakan semasa berburu di kawasan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Kampung Marakau di sini, pagi Isnin.

Mangsa dikenali sebagai Anto Supomo, 33, maut selepas terkena lima tembakan di bahagian badan semasa memburu kira-kira jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kejadian disedari apabila isteri mangsa memaklumkan perkara terbabit kepada pegawai penguasa LIGS.

Siasatan mendapati mangsa bersama rakannya masuk ke kawasan LIGS untuk memburu dengan membawa selaras senapang buatan sendiri iaitu ‘bakakuk’ dan tiga butir peluru.

Mangsa kemudiannya melihat seekor rusa di atas bukit sebelum mengarahkan rakannya untuk ke sana,” katanya.

Menurutnya rakan mangsa naik ke atas bukit terbabit tanpa menyedari mangsa turut naik bersama dan melepaskan tembakan ke arah rusa berkenaan.

Sebaik tembakan dilepaskan, rakan mangsa mendengar jeritan mangsa sebelum berlari ke arah mangsa yang tidak bergerak dipercayai sudah meninggal dunia.

Mangsa kemudiannya dibawa balik dengan bantuan rakan-rakan lain,” katanya.

Farhan berkata hasil pemeriksaan mendapati mangsa meninggal dunia akibat terkena lima kesan tembakan di bahagian badan dan salah satunya terkena di bahagian jantung mangsa.

Bertindak atas kejadian itu, kita menahan rakan mangsa berumur 28 tahun yang juga warga tempatan berasal dari Kampung Tudangan Ranau.

Turut dirampas selaras bakakuk, kelongsong peluru, sebutir peluru hidup yang ditemukan di dalam poket seluar suspek dan peluru hidup serta sebutir palet yang ditemukan di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Advertisement