Anda di sini

Bidang seni diyakini menyumbang ke arah pembangunan Sarawak

Advertisement

KUCHING: Bidang seni diyakini akan menyumbang ke arah pembangunan Sarawak, dengan menjadi tarikan utama pelancongan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia Datuk Abdul Adzis Abas berkata ini kerana, Bumi Kenyalang mempunyai khazanah seni yang unik, yang boleh dilestarikan melalui pelbagai pendekatan.

Justeru, beliau berkata Kongres Seni Sarawak 2018 yang julung kali diadakan amat bertepatan untuk menggalakkan pengkajian dan perbincangan tentang seni Sarawak yang meliputi pelbagai bidang.

Di samping itu, katanya ia juga untuk merangsang wacana keilmuan dalam kalangan masyarakat negeri ini khususnya para penggiat seni supaya lebih peka tentang pembangunan seni Sarawak ke arah hala tuju yang terancang dan signifikan dengan situasi semasa.

Dengan adanya matlamat penganjuran ini, bidang seni di Sarawak akan terus menyumbang ke arah pembangunan ekonomi digital selaras dengan dasar kerajaan negeri, dengan menjadikan bidang seni sebagai tarikan utama pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kongres Seni Sarawak 2018 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di sini, semalam.

Selain khazanah seni, Abdul Adzis berkata Sarawak turut memiliki keunikan dari segi bahasa, budaya dan sastera yang harus ditonjolkan sebagai hak milik bersama dan  dikongsi untuk tatapan generasi akan datang.

Tambah beliau, penyebaran dan pendokumentasian bidang ini perlu dilaksanakan dengan lebih terancang.

Kongres Seni Sarawak 2018 merupakan program yang membabitkan kerjasama khususnya DBP Cawangan Sarawak, Majlis Seni Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), persatuan-persatuan etnik di Sarawak, persatuan-persatuan penggiat teater Sarawak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai agensi lain.

Ia bertujuan menghimpunkan para sarjana, pengkaji, karyawan dan seniman untuk membincangkan isu seni dan budaya di Sarawak khususnya seni persuratan dan persembahan.

Pada masa sama, ia juga untuk menghasilkan pelan strategik pembangunan seni Sarawak untuk digunakan pada masa akan datang.

Advertisement