Anda di sini

Ugut isteri, lelaki kena tiga bulan

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan iaitu 14 Disember, 2017.

Ting Sing Nang, 50, dari Lorong 1 Jalan Kuching, Taman Tunku di sini telah dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak memukul dan membunuh isterinya, Runi Nanang, 42.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang 14 Disember, 2017 di rumahnya di Lorong 1 Jalan Kuching Timur 3, Taman Tunku di sini.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa sebutan pertama kes pada 19 Disember lalu, tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu pengurusan kes.

Bagaimanapun, tertuduh yang gagal melangsaikan wang jaminan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu sebutan lanjut kes semalam, di mana tertuduh telah menukar pengakuannya kepada bersalah.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement