Anda di sini

TTS anugerah permit buat 47 penduduk

Advertisement

KOTA BELUD: Taman-Taman Sabah (TTS) telah mengeluarkan permit menduduki dan mengusahakan tanah dalam kawasan kepada 47 penduduk kampung di Kampung Mantanau, dekat sini, bagi membangunkan aktiviti pertanian di kawasan itu.

Penduduk turut berpeluang membangunkan potensi ekopelancongan di kawasan berkeluasan 121.59 hektar itu yang terletak di Taman Kinabalu, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS Datuk Seri Dr Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood berkata pengeluaran permit itu adalah pertama kali dilaksanakan pihaknya dengan mendapat kerjasama daripada komuniti kampung bermula dengan kerja pengukuran dan mengenal pasti kebun yang termasuk dalam kawasan taman.

Persefahaman dan kerjasama antara TTS dan komuniti Kampung Mantanau telah mewujudkan hubungan ‘simbiotik’ atau situasi menang-menang. Kita dapat memajukan tanah (dalam kawasan taman) dan bersama memulihara kelestarian kawasan,” katanya kepada Bernama selepas menyerahkan permit itu di sini, kelmarin.

Tengku Zainal Adlin berkata antara faedah bagi pemegang permit tersebut ialah mempunyai jaminan hak untuk tinggal dan bercucuk tanam di kawasan diberi permit dan ia boleh diwariskan kepada keluarga terdekat.

Tengku Zainal Adlin berkata pemegang permit juga boleh dan layak memohon subsidi pertanian dan tidak akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang selagi mereka mematuhi peraturan dan syarat permit ditetapkan.

Pada pihak pengurusan TTS pula, beliau berkata pengawalan dan perlindungan kawasan taman akan lebih berkesan, selain pemegang permit atau komuniti terbabit tidak lagi memperluas keluasan kebun mereka dan hanya mengusahakan tanah di kawasan diberi permit.

Inisiatif (mengeluarkan permit) ini mampu membantu meningkatkan ekonomi penduduk di sini kerana mereka tidak hanya menjalankan aktiviti pertanian tetapi juga membangunkan potensi eko-pelancongan termasuk inap desa kerana keindahan alam semula jadi di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah TTS Dr Jamili Nais berkata pemberian permit itu adalah formula terbaik dalam menyelesaikan isu pertindihan tanah yang dikenal pasti di 13 kawasan, termasuk di Kampung Mantanau selepas juru ukur bertauliah membuat ukuran di kawasan tersebut kira-kira 22 tahun lalu.

Taman Kinabalu diwartakan pada 1964, tetapi ketika itu tidak ada ukuran dibuat di lapangan oleh juru ukur bertauliah…hanya renjer sahaja yang melakukan ukuran kawasan.

Kita mencari formula terbaik bagi menyelesaikan isu tersebut dan pasukan serta pengurusan sekarang melihat cara penyelesaian adalah memberi permit menduduki dan mengusahakan tanah yang menjadi pertindihan itu. Penduduk Kampung Mantanau telah mempersetujuinya,” katanya.

Gusti Bantasan, 60, yang juga Ketua Kampung, Kampung Mantanau melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan TTS atas pemberian permit itu yang disifatkannya keputusan terbaik setelah kira-kira 22 tahun menunggu.

Herman Anthony, 32, pula berkata dengan adanya permit itu, ia memberi kelonggaran kepada penduduk kampung mengusahakan tanah mereka yang termasuk dalam kawasan taman, sekali gus membolehkan mereka meningkatkan pendapatan menerusi hasil pertanian.

Seorang lagi penerima permit, Elizabeth Elim, 35, berkata dia menanam impian untuk membina inap desa sekiranya mempunyai modal mencukupi memandangkan permit tanah yang diberikan kepadanya sangat strategik untuk tarikan pelancong kerana terletak berdekatan sungai.

Dalam perkembangan lain, TTS turut menyerahkan kad kuasa Renjer Kehormat Taman kepada 18 individu terpilih menyertai program Renjer Kehormat Tamanyang dirangka bagi membolehkan komuniti terlibat berperanan sebagai mata dan telinga TTS untuk melindungi serta memelihara sumber alam semula jadi kawasan taman.

TTS ialah sebuah agensi seliaan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang bertanggungjawab mengurus dan melindungi sepenuhnya sembilan kawasan taman yang juga kira-kira 17 peratus keluasan negeri ini. — Bernama

Advertisement