Anda di sini

36 anggota ‘Geng 04’ didakwa di Ipoh

Advertisement
 Anggota polis mengawal ketat 36 anggota kumpulan kongsi gelap ‘Geng 04’ sebaik mereka dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang. — Gambar Bernama
KAWALAN KETAT: Anggota polis mengawal ketat 36 anggota kumpulan kongsi gelap ‘Geng 04’ sebaik mereka dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang. — Gambar Bernama

IPOH: Seramai 36 anggota kumpulan kongsi gelap ‘Geng 04’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh semasa pertuduhan dibacakan jurubahasa masing-masing dalam bahasa Tamil dan Melayu di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, 36 tertuduh berumur antara 20 dan 60 tahun itu didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang Geng 04 antara 1 Januari 2015 hingga 27 Januari lepas di daerah Kinta, di sini.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum menerusi seksyen sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.

Mereka yang dituduh ialah Mohamed Shariff Mohamed Ibrahim, Muhamed Sidik Mohamed Ibrahim, M. Perbakaran, R. Sargunan, B. Murli, M. Ganesan, N. Michael Raj, M. Selva, S. Jesudass, K. Kartikkesan, S. D Kevan, P. Jeventhyren, L. Tamil Selven, S. Kalidas, K. Arun dan Abdul Rahman Subbaiah Salim.

Manakala A. Kughan, J. Thruselvam, K. Thiruchelvan, K. Kugan, A. Samuel Dhinakaran, K. Sattiyarao, S. Vijendran, B. K Chandran, S. Thatchana Moorthy, M. Munian, R. Kesavan, P. A Fatri, F. Niclos, S. K Jagathesan, R. Paramesh Rao, A. Govalsamy, T. S Kavitheian, C. Tinabalan, K. Selvam dan T. Kamal tidak diwakili peguam.

Pendakwaan kes pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Mohd Izhanudin Alias.

Mahkamah menetapkan 20 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, semua tertuduh dibawa menaiki dua trak polis kira-kira jam 9 pagi dengan dikawal ketat 11 pegawai dan 104 anggota polis bertugas di sepanjang laluan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak ke kompleks mahkamah hingga ke Mahkamah Sesyen 2 di sini.

Bagaimanapun wartawan tidak dibenarkan memasuki kamar mahkamah untuk mendengar proses pendakwaan. — Bernama

Advertisement