Anda di sini

Selatan Mexico mohon dana kecemasan pascagempa bumi

Advertisement
 Keadaan bangunan yang rosak teruk selepas dilanda gempa bumi di kawasan kejiranan Pinotepa Nacional di Oaxaca, Mexico kelmarin. — Gambar AFP
PERLU DIBINA SEMULA: Keadaan bangunan yang rosak teruk selepas dilanda gempa bumi di kawasan kejiranan Pinotepa Nacional di Oaxaca, Mexico kelmarin. — Gambar AFP

KOTA MEXICO : Wilayah selatan Oaxaca di Mexico memohon dana kecemasan persekutuan kelmarin agar membekalkan makanan, tempat perlindungan dan perkhidmatan kesihatan di lebih 30 perbandaran yang dilanda gempa bumi kuat minggu lepas di sebuah wilayah yang masih menerima kesan akibat gegaran pada September 2017.

Gempa bumi sekuat 7.2 magnitud pada Jumaat lepas, yang tidak menyebabkan sebarang kematian, berpusat 90 batu dari pusat peranginan peluncur Puerto Escondido di pantai Pasifik.

Ia menggegarkan bangunan di ibu negara, menghantar gegaran sehingga ke selatan di Guatemala dan mencetuskan lebih 1,520 gegaran susulan.

Sekurang-kurangnya 1,000 rumah mengalami kerosakan di Oaxaca, gabenor wilayah Alejandro Murat memberitahu program televisyen Mexico Sabtu lepas, lebih tinggi berbanding anggaran kerosakan awal.

Gambar-gambar media menunjukkan beberapa rumah, perniagaan dan sekolah mengalami retakan pada dinding dan runtuhan mengotori tanah.

Sebuah helikopter tentera yang meninjau kerosakan akibat gempa bumi terhempas di Santiago Jamiltepec pada malam Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang.

Kementerian Dalam Negeri di Mexico menyatakan bantuan persekutuan akan disalurkan ke beberapa pekan termasuk Pinotepa Nacional, paling dekat dengan pusat gempa, dan Santiago Jamiltepec, yang telah melaporkan 50 rumah yang musnah, di samping sebuah gereja dan bangunan kerajaan.

Usaha pemulihan masih dilakukan di Oaxaca termasuk di Kota Mexico selepas gempa bumi kuat pada September mengorbankan beratus-ratus orang dan meruntuhkan puluhan bangunan. — Reuters

Advertisement