Anda di sini

Pekerja kilang dan bekas suami didakwa melakukan pemerasan

Advertisement
 Noraniza (tengah) dan Muhammad Kasim (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas tiga pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki membabitkan wang berjumlah RM6,800 tiga tahun lalu. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Noraniza (tengah) dan Muhammad Kasim (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas tiga pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki membabitkan wang berjumlah RM6,800 tiga tahun lalu. — Gambar Bernama

IPOH: Seorang pekerja kilang dan bekas suaminya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki membabitkan wang berjumlah RM6,800 tiga tahun lalu.

Muhammad Kasim A Zamzami, 24, dan Noraniza Jelani, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, mereka didakwa sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Yap Ing Choon, 34, untuk membuat laporan polis kerana dia telah menghantar video lucah melalui telefon kepada Noraniza.

Kedua-dua tertuduh didakwa meminta mangsa menyerahkan wang masing-masing sebanyak RM1,000, RM800, dan RM5,000 kepada Noraniza menerusi akaun Maybank milik Noraniza untuk mereka tidak membuat laporan polis.

Mereka melakukan pemerasan itu menerusi telefon bimbit milik Noraniza kepada Yap di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  Perak di sini antara 12 Jun hingga 18 Jun 2015, antara 12 tengah hari hingga 2 petang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan dan menetapkan 26 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, dalam mah-kamah yang sama, Muhammad Kasim mengaku tidak bersalah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Yap untuk membuat laporan polis kerana menghantar video lucah melalui telefon kepada Noraniza.

Muhammad Kasim yang tidak bekerja itu didakwa meminta mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,000 secara berperingkat kepadanya dan Noraniza di JPJ Perak di sini, kira-kira jam 12 tengah hari hingga 2 petang, 30 Jun 2015.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah membenarkan Muhammad Kasim diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari untuk sebutan semula kes.

Kesemua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Rais Imran Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement