Anda di sini

Dua warga India didakwa perdagang lima wanita

Advertisement
 Balan dan Chira (dua kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas lima pertuduhan memperdagangkan lima wanita senegara, bulan lalu. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Balan dan Chira (dua kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas lima pertuduhan memperdagangkan lima wanita senegara, bulan lalu. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Dua bersaudara warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lima pertuduhan memperdagangkan lima wanita senegara, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh Balan Raju, 40, dan Chira Usharani, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Kedua-dua tertuduh didakwa memperdagangkan lima wanita berusia 28 hingga 42 tahun, bagi maksud eksploitasi seks, di Taman Bukit Delima di sini, pada 24 Januari lepas, pada jam 5.30 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Pemerdagangan dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Haron memohon kepada mahkamah untuk tidak memberikan jaminan kepda kedua-dua tertuduh kerana mereka merupakan warganegara asing dan cap keselamatan mereka telah tamat tempoh.

Peguam kedua-dua tertuduh, A. Prema, bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan jaminan yang paling rendah kerana mereka mempunyai seorang saudara di sini yang bekerja sebagai pemandu lori dan sudi menjamin mereka.

Junaidah kemudiannya tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Mac depan untuk serahan dokumen. — Bernama

Advertisement