Anda di sini

Dua beradik bebas dan lepas daripada tuduhan bunuh

Advertisement

MIRI: Dua beradik termasuk seorang tuai rumah terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi Miri memerintahkan mereka dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan membunuh seorang lelaki warga asing dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Dr Alwi Abdul Wahab setelah mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh dalam kes ini.

Lagan Mungkun, 59, dan adiknya Columbus, 47, kedua-duanya dari Rumah Lagan, Sungai Kelatup, Ulu Saeh, Niah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh melakukan pembunuhan dengan sengaja menembak Herman, 35, warganegara Indonesia menggunakan selaras senapang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama seorang yang masih bebas pada jam lebih kurang 12.15 tengah hari 20 Februari, 2015 di Ladang Seatex, Jalan Karabungan, Batu Niah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Aftal Mariz bagi pihak TPR Musli Abdul Ghani manakala kedua-dua tertuduh diwakili Nishanti R.J. Noel bagi pihak Ranbir Singh.

Advertisement