Anda di sini

Libya peringati tujuh tahun revolusi

Advertisement
 Kanak-kanak Libya memakai seragam tentera dan memakai skaf memaparkan warna bendera kebangsaan mereka menyertai sambutan ulang tahun ketujuh revolusi Libya di Dataran Pejuang di Tripoli, kelmarin. — Gambar AFP
TIDAK KETINGGALAN: Kanak-kanak Libya memakai seragam tentera dan memakai skaf memaparkan warna bendera kebangsaan mereka menyertai sambutan ulang tahun ketujuh revolusi Libya di Dataran Pejuang di Tripoli, kelmarin. — Gambar AFP

TRIPOLI: Ribuan warga Libya kelmarin memperingati ulang tahun ketujuh permulaan protes yang menggulingkan diktator Muammar Gaddhafi, dengan rapat umum dan konsert, walaupun negara itu mengalami kekalutan ekonomi dan politik.

 Di ibu negara Tripoli, dan di banyak bandar di negara Afrika Utara itu, ribuan memenuhi dataran awam di mana pihak berkuasa menganjurkan konsert dan perayaan lain.

 Libya menjadi huru-hara selepas pemberontakan yang disokong oleh NATO pada 2011, setelah militia, kabilah dan pelampau jihad yang bermusuhan bersaing untuk pengaruh di seluruh negara yang kaya dengan hasil minyak itu.

 Satu perjanjian tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dimeterai pada 2015 untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Tripoli dan menamatkan pergolakan.

 Namun Libya masih dibelenggu perpecahan di antara Kerajaan Perjanjian Kebangsaan (GNA) dengan pentadbiran saingan yang disokong oleh ketua tentera Khalifa Haftar di timur negara.

 GNA tidak dapat mengukuhkan kuasa di seluruh negara itu, yang turut bergelut dengan serangan berdarah, dan krisis migrasi tujuh tahun sejak pemberontakan meletus.

 Perdana menteri yang disokong oleh masyarakat antarabangsa Fayez al-Sarraj mengiktiraf kekurangan kerajaan dalam satu ucapan televisyen kelmarin sempena ulang tahun ketujuh, dan menuntut perdamaian kebangsaan.

 “Mungkin sebuah rejim sudah berakhir, tetapi sebenarnya kita tidak dapat menghapuskan budaya yang telah mendominasi minda dan tingkah laku ramai orang, yang pada hari ini berada di barisan hadapan politik dan menganggap tanah air kita sebagai harta rampasan,” kata Sarraj.

 Perdamaian negara, katanya, merupakan kunci kepada penyelesaian untuk menamatkan perpecahan di Libya dan meredakan krisis yang dihadapi negara.

 Sarraj turut menuduh negara- negara, yang beliau tidak namakan, “memarakkan” konflik di Libya dan menyeru kepada mereka untuk berhenti campur tangan dalam tanah air beliau.

 Di Tripoli, rakyat Libya memenuhi Dataran Syahid sambil mengibarkan bendera merah-hijau-hitam negara.

 Pengakap lelaki berarak dan konsert serta pertunjukan bunga api dirancang sebagai sebahagian daripada perayaan, yang bermula Jumaat lepas.

 “Mungkin 2018 adalah tahun yang baik untuk Libya,” kata seorang penjawat awam Mohsen Ali yang membawa isteri dan dua anak kecilnya ke Dataran Syahid.

 “Kita mesti memulakan tahun ini dengan baik supaya perkara baik berlaku,” ujarnya.

 Namun jika ada yang ingin meraikan permulaan, tujuh tahun lalu, bagi protes yang membawa kepada kejatuhan dan pembunuhan Gaddhafi, ada juga yang menggunakan media sosial untuk menyatakan mereka tidak ada apaapa yang berbaloi untuk diraikan.

 Setiap hari kehidupan adalah satu perjuangan bagi rakyat Libya, yang sentiasa berdepan dengan kejadian bekalan elektrik terputus, kekurangan wang tunai, kejatuhan nilai matawang negara dan perkhidmatan awam yang buruk. — AFP

Advertisement