Anda di sini

Hanya BN mampu bawa kebaikan dan kemajuan berterusan: PBS

Advertisement

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan kelmarin mengingatkan rakyat hanya Barisan Nasional (BN) berupaya membawa kebaikan dan kemajuan yang berterusan untuk masyarakat berbilang kaum di negara ini.

 Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah berkenaan berharap rakyat, khususnya pengundi, memahami usaha yang dilakukan dan kejayaan yang dihasilkan oleh kerajaan BN selama ini dalam menyatupadukan dan memakmurkan rakyat.

 “Kami berharap keadaan ini (BN sebagai kerajaan) berterusan demi kemakmuran kita semua yang terdiri daripada masyarakat majmuk ini.

 “Saya juga memohon agar rakyat memahami kesungguhan PBS selama ini dalam melaksanakan pelbagai usaha untuk membangunkan rakyat, khususnya melalui BN,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran parti itu, di sini kelmarin.

 Pairin juga berharap hubungan antara pemimpin dan rakyat terus diperkukuh bagi membolehkan lebih banyak usaha dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

 Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang turut hadir pada majlis itu, berharap semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum terus wujud bagi memudahkan kerajaan mentadbir negeri.

 “Kehadiran masyarakat berbilang kaum yang ramai dalam majlis ini jelas menunjukkan semangat kekitaan dan perasaan muhibah dalam kalangan kita di Sabah ini.

 “Saya berharap kita terus bersatu padu dan bekerjasama untuk membangunkan negeri kita,” katanya. — Bernama

Advertisement