Anda di sini

Dua remaja Palestin maut di Gaza

Advertisement

Rejim Israel lancar serangan udara setelah empat askarnya dicederakan

 Ahli keluarga hanya mampu menatap pilu mayat kedua-dua remaja Palestin terbabit di rumah mayat sebuah hospital di Rafah, selatan Semenanjung Gaza lewat kelmarin. — Gambar AFP
KORBAN PERJUANGAN: Ahli keluarga hanya mampu menatap pilu mayat kedua-dua remaja Palestin terbabit di rumah mayat sebuah hospital di Rafah, selatan Semenanjung Gaza lewat kelmarin. — Gambar AFP

KOTA GAZA: Dua remaja Palestin telah terkorban dalam serangan rejim Israel, kata sumber perubatan Gaza semalam, selepas empat askar Israel cedera dalam kejadian yang dipercayai serangan bom ke atas sempadan dengan daerah Palestin itu.

 Letupan kelmarin dan serangan udara oleh Israel selepas itu menandakan ketegangan antara yang paling serius dalam daerah yang diperintah oleh Hamas sejak pergerakan Islam tersebut dan rejim Zionis terbabit dalam peperangan pada 2014.

 Tentera Israel berkata, ia menyerang 18 sasaran ‘pengganas milik organisasi keganasan Hamas’ dalam dua gelombang serangan udara yang menyusuli letupan berkenaan.

 “Lapan sasaran diserang dalam sebuah perkarangan tentera dekat Deir el Balah, yang dimiliki ‘organisasi pengganas’ Hamas, termasuk infrastruktur latihan dan pembuatan senjata,” ia menyebut dalam satu kenyataan awal semalam.

 Ia terdahulu berkata, jet pejuang menyerang enam sasaran ketenteraan di Gaza milik Hamas, termasuk sebuah terowong dalam kawasan Zaytun serta pekarangan tentera dekat Deir el-Balah dan Khan Yunis.

 Pihak tentera turut melaporkan pelancaran dikenal pasti dari Semenanjung Gaza ke wilayah Israel, dengan sebuah projektil nyaris terkena sebuah rumah dalam sebuah komuniti di selatan Israel.

 Seorang jurucakap polis Israel berkata, projektil itu telah merosakkan sebuah bangunan tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

 Dua pemuda Palestin yang maut itu dikenal pasti kementerian kesihatan Gaza sebagai Salam Sabah dan Abdullah Abu Sheikha, masing- masing berusia 17 tahun, yang terbunuh dalam satu serangan ke timur Rafah, selatan Gaza.

 Menurut saksi Palestin, mereka ditembak tentera Israel dekat sempadan kelmarin.

 Tentera Israel mendakwa askarnya melepaskan ‘tembakan amaran’ ke arah beberapa penduduk Palestin yang mendekati pagar sempadan dengan cara yang mencurigakan.

 Bercakap pada persidangan keselamatan di Munich lewat kelmarin, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan insiden di sempadan Gaza sebagai amat serius dan berikrar bertindak sewajarnya.

 Sumber keselamatan Palestin berkata, serangan udara Israel terkena tiga pangkalan Hamas di timur daerah Gaza yang dikepung.

 Dua penduduk Palestin cedera dalam serangan itu, kata sumber perubatan Palestin.

 Pada awal hari itu, pihak tentera berkata, empat askar termasuk dua cedera parah apabila satu bom buatan sendiri meletup di sepanjang pagar sempadan dengan Gaza.

 Nyawa askar terbabit tidak terancam, tambah jurucakap.

 Sumber keselamatan Palestin berkata, letupan berlaku ke timur kota Khan Yunis.

 Sebagai tindak balas, tentera Israel berkata sebuah kereta kebal melepaskan tembakan dengan segera ke sebuah pos pemerhatian di selatan Gaza, yang tidak menyebabkan sebarang kecederaan pada pihak Palestin.

 Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus, berkata sekumpulan ‘penyangak’ mengaku bertanggungjawab atas letupan bom berkenaan, kemungkinan merujuk kepada salah satu kumpulan lebih radikal di Gaza.

 Namun beliau menegaskan, mereka tetap menuduh Hamas bertanggungjawab dan mendakwa bom itu dipasang sewaktu protes yang dianjurkan kumpulan tersebut pada Jumaat lepas.

 Tentera Israel bertindak secara automatik terhadap sebarang serangan ke atas wilayahnya, umumnya menyasari kemudahan Hamas.

 Sayap bersenjata Hamas Briged Ezzedine al-Qassam mendakwa telah menembak jet pejuang Israel di ruang udara Gaza, namun Conricus menafikan dakwaan itu. — AFP

Advertisement