Anda di sini

13 maut nahas di zon gempa bumi Mexico

Advertisement

Helikopter menteri hampir terbalik ketika hendak mendarat lalu hempap van

 Ahli keluarga mangsa nahas membawa keranda mengandungi mayat mangsa melintasi tempat kejadian yang dikawal seorang askar semasa majlis pengebumian di Santiago Jamiltepec, Oaxaca kelmarin. — Gambar AFP
MEMILUKAN: Ahli keluarga mangsa nahas membawa keranda mengandungi mayat mangsa melintasi tempat kejadian yang dikawal seorang askar semasa majlis pengebumian di Santiago Jamiltepec, Oaxaca kelmarin. — Gambar AFP

SANTIAGO JAMILTEPEC: Seramai 13 maut di selatan Mexico apabila helikopter seorang menteri terhempas ketika ia hendak mendarat dalam penerbangan ke pusat gempa bumi kuat yang menggegarkan wilayah tersebut, kata pegawai kelmarin.

Gempa berukuran 7.2 itu menyebabkan hanya kerosakan benda ketika berlaku lewat Jumaat lepas tetapi mencetuskan tragedi di bandar Santiago Jamiltepec dalam negeri Oaxaca di mana helikopter tersebut hampir terbalik ketika cuba mendarat lalu menghempap sebuah van.

Lima wanita, empat lelaki dan tiga kanak-kanak mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital, kata pejabat pendakwa raya Oaxaca.

Menaiki helikopter tentera UH-60 Black Hawk terbabit adalah Menteri Dalam Negeri Alfonso Navarrete dan Gabenor Negeri Oaxaca Alejandro Murat, kedua-duanya tidak cedera.

Puluhan orang hadir kelmarin untuk memberi penghormatan kepada mangsa yang terkorban, membawa lilin dan bunga putih, manakala trompet dan saksofon dimainkan juga sebagai penghormatan.

Maria Margarita Sanchez, 63, kehilangan anak lelakinya, Lorenzo Zarate, dalam nahas itu.

Saya tidak dapat menggambarkan kesedihan saya,” kata wanita tua itu sambil menutup wajahnya dengan skaf.

Navarrete memberitahu rangkaian TV Televisa bahawa juruterbang helikopter tidak dapat mengawal pesawatnya ketika ia hendak mendarat.

Seorang penduduk tempatan yang enggan memberikan namanya berkata, ramai penduduk terselamat gempa sebelum itu merancang untuk bermalam di luar, di tapak di mana helikopter terhempas, kerana bimbang akan terperangkap dalam rumah mereka jika berlaku gegaran susulan.

Pegawai kerajaan berkenaan hendak meninjau kerosakan dekat pusat gempa yang terletak 37 kilometer dari bandar barat daya Pinotepa de Don Luis, menurut Jabatan Survei Geologi Amerika Syarikat.

Gempa bumi merosakkan kira-kira 50 kediaman di Santiago Jamiltepec, selain dewan bandar dan bangunan gereja, tetapi tidak ada orang yang terbunuh, kata kementerian dalam negeri.

Pihak berkuasa Oaxaca membuka pusat perlindungan bagi mereka yang terjejas, dan hampir 6,000 anggota tentera dan polis persekutuan dikerahkan untuk membantu dalam operasi kecemasan.

Gempa bumi berlaku tidak sampai enam bulan selepas dua gempa mengorbankan ratusan manusia di negara itu.

Pada 7 September lalu, gempa bumi berukuran 8.2 menggegarkan negara itu dan membunuh 96 orang, kebanyakannya di negeri-negeri Oaxaca dan Chiapas.

Kemudian pada 19 September, ulang tahun ke-32 gempa bumi 1985 yang mengorbankan 10,000 orang, gempa bumi berukuran 7.1 melanda negara dan mengorbankan 369 orang.

Gempa pada Jumaat lepas membunyikan sistem penggera di Kota Mexico dan menggoyangkan bangunan di ibu negara.

Ia turut dirasai di negeri-negeri Guerrero, Puebla dan Michoacan.

Penduduk yang panik memenuhi jalan-jalan di pusat bandar.

Sejujurnya, semua kami agak kecewa.

Kami mula menangis setiap kali penggera (gempa bumi) berbunyi,” kata pegawai publisiti Kevin Valladolid, 38, lantas menangis setelah keluar dari bangunan kediamannya di La Roma, di tengah Kota Mexico.

Pesakit dari sebuah hospital berdekatan terpaksa dikeluarkan, ada yang menggunakan kerusi roda atau membawa tali UV mereka.

Senario sama kelihatan di Veracruz.

Pegawai di negeri terjejas berkata, mereka memeriksa bangunan yang dirosakkan oleh gempa pada tahun lepas, yang terutamanya terdedah kepada keruntuhan.

Orang ramai sememangnya ketakutan,” kata ketua bantuan kecemasan di kota Puebla, Gustavo Ariza.

Mexico terletak di atas kawasan di mana lima pelantar tektonik bertemu, menjadikannya khususnya terdedah kepada gempa bumi. — AFP

Advertisement