Anda di sini

Tenggiling Sunda Sabah dilindungi sepenuhnya

Advertisement

Dilarang bagi aktiviti memburu, memakan atau menjual tenggiling atau bahagian anggotanya: Masidi

 Kamarlin merasmikan Pameran Arca Tenggiling di Lapangan Terbang Sandakan semalam. — Gambar Bernama
MERCU TANDA: Kamarlin merasmikan Pameran Arca Tenggiling di Lapangan Terbang Sandakan semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Status tenggiling Sunda kini telah dinaikkan iaitu diklasifikasikan sebagai haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah, dan berada di bawah kumpulan sama bagi orang utan, beruang Sun Bear dan beberapa spesies ikon lain yang terdapat di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ini bermakna ia dilarang bagi aktiviti memburu, memakan atau menjual tenggiling atau bahagian anggotanya dan pesalah boleh dikenakan denda maksimum seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Dokumen untuk menaik taraf status perlindungan tenggiling ini telah diluluskan Kabinet negeri Sabah,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran arca tenggiling di Lapangan Terbang Sandakan di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi.

Arca mamalia itu diperbuat daripada papan pengiklanan polikarbonat yang dikitar semula dan botol terpakai.

Masidi berkata satu daripada cabaran besar dalam pemeliharaan tenggiling ini adalah sangat sedikit diketahui tentang ‘makhluk yang sangat berahsia dan sukar difahami ini’.

Beliau berkata selama berjuta-juta tahun, tenggiling telah membiak dan sukar dikesan dan sering didapati dalam ketumpatan rendah berdasarkan kajian penggunaan teknologi perangkap kamera.

Ini menjadikan mamalia kecil ini jarang dilihat dan sukar untuk menjalankan kajian, menyebabkan saintis percaya spesies haiwan ini dalam bahaya kepupusan yang ketara, katanya.

Beliau berkata walaupun wujud undang-undang melindungi hidupan liar di banyak negara, pemburuan dan penyeludupan haiwan hidupan liar secara haram, masih berterusan.

Trend hari ini menunjukkan gajah, badak dan tenggiling, spesies yang paling banyak diburu secara haram bagi mendapatkan gading, tanduk dan sisik.

Sudah pasti ancaman bagi tenggiling ini semakin serius sejak lima tahun kebelakangan ini. Tenggiling adalah haiwan yang paling terdedah kepada ancaman pemburu haram,” katanya.

Masidi berkata sisik dan daging tenggiling mendapat permintaan tinggi di pasaran Asia yang kononnya mempunyai sifat penyembuhan yang menakjubkan.

Beliau menegaskan masyarakat tempatan boleh memainkan peranan positif dalam membantu mengekang perdagangan haram hidupan liar.

Mengenai pameran arca tenggiling di lapangan terbang itu, beliau berkata ia adalah hasil kerjasama Future Alam Borneo, Danau Girang Field Centre dan Malaysia Airports Berhad dan pameran seumpama itu adalah penting bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hidupan liar di negeri ini.

Masidi berkata sudah tiba masanya bagi badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia Airports untuk memerangi jenayah hidupan liar dan menghantar mesej bahawa seperti manusia, hidupan liar juga mempunyai hak untuk hidup di bumi hijau ini.

Beliau berharap NGO akan mengekalkan momentum agar terus meningkatkan kesedaran mengenai pemerdagangan haram hidupan liar dan terus membantu usaha penguatkuasaan bagi mengekang gejala itu.

Arca tenggiling itu yang ditempatkan di pintu masuk balai berlepas, hasil rekaan Japson Wong daripada JF Production. — Bernama

Advertisement