Anda di sini

Remaja dipenjara dua tahun rompak arak, coklat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mengambil kira usianya yang masih muda, seorang remaja yang merompak sebuah kedai serbaneka dengan mengambil arak, coklat dan rokok akibat terpengaruh dengan rakannya, bernasib baik kerana hanya dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mahyon Talib menjatuhi hukuman itu ke atas R.Joshua, 19, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari ketiga perbicaraan kesnya semalam.

Mahyon berkata tertuduh bernasib baik kerana hukuman yang dijatuhi mengambil kira usianya yang masih muda dan turut menasihati Joshua agar tidak mengulangi perbuatannya itu.

Lepas ini bila keluar nanti (dari penjara), jangan buat lagi, jangan ikut kawan-kawan, jangan campur kawan-kawan yang jahat,” kata hakim itu yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Julai 2017.

Tertuduh yang memakai baju T putih dan seluar pendek mengangguk-anggukkan kepalanya dan berkata “terima kasih, terima kasih puan,”.

Terdahulu ketika rayuan, Joshua yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah, itu kesalahan pertamanya dan dia perlu menanggung keluarga termasuk ibunya yang menghidap sakit jantung.

Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Joshua mengaku melakukan rompak berkumpulan terhadap Dam Kartic, 23, warga Bangladesh yang merupakan jurujual Pasaraya KK Mart, dengan mengambil enam botol arak jenama Tiger, enam keping coklat Kit Kat dan lapan kotak rokok jenama Dunhill keseluruhan bernilai RM240.40 di pasar raya tersebut di Jalan Ambar, Batu 5, Jalan Ipoh, Sentul di sini antara jam 2 pagi dan 2.30 pagi, 17 Julai 2017. — Bernama

Advertisement