Anda di sini

Punca kematian Syed Alman Zain tindak balas alahan serius

Advertisement

Berlaku anaphylaxis akibat ubat penenang untuk rawatan pergigian

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu bahawa punca kematian menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi ketika menerima rawatan di Pusat Pergigian Imperial pada 1 Jun 2016 adalah disebabkan ‘anaphylaxis’ iaitu tindak balas alahan yang serius.

Pegawai Penyiasat daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Putrajaya, Dr Siti Khadijah Hawari, 37, berkata Syed Alman Zain mengalami anaphylaxis berikutan diberi ubat penenang untuk prosedur rawatan pergigian.

Tempoh masa antara pengambilan makanan dan prosedur pergigian telah mengetepikan kemungkinan tidak balas itu disebabkan alahan terhadap makanan yang diambil mangsa, selain itu laporan daripada Jabatan Kimia juga tidak merujuk kepada sebarang alahan makanan,” katanya ketika membacakan laporan bedah siasat terhadap Syed Alman Zain pada perbicaraan kes Pusat Pergigian Imperial yang didakwa berhubung kematian lelaki itu.

Doktor itu yang merupakan saksi pendakwaan terakhir berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam P. Sreekant berhubung punca kematian Syed Alman Zain dan alasan terhadap tindak balas alahan yang serius itu.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek berhubung tangki gas oksigen di premis berkenaan Dr Siti Khadijah menjelaskan bahawa semasa siasatan awal memang tidak terdapat tangki gas oksigen tersebut di premis itu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik Melbourne (bilik rawatan yang digunakan ketika Syed Alman Zain menerima rawatan), tidak nampak kehadiran tangki oksigen ketika insiden berkenaan berlaku,” katanya dan menambah berdasarkan dokumen sewaan yang diteliti ketika siasatan menunjukkan tangki gas oksigen itu disewa bermula 2 Jun 2016, iaitu sehari selepas kejadian yang menimpa Syed Alman Zain.

Selepas saksi itu selesai memberi keterangan, pihak pendakwaan menutup kes pendakwaan setelah memanggil 13 saksi pada perbicaraan yang bermula Februari 2017 dan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin menetapkan15 dan 23 Mac untuk mendengar hujahan manakala 28 Mac ditetapkan bagi keputusan di akhir kes pendakwaan.

Pada 12 Ogos 2016, pusat pergigian itu yang diwakili Pengarah Syarikatnya Dr Wong Yen Ling mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.

Antara pertuduhan itu ialah beliau selaku orang kena saman (OKS), didakwa sebagai pemegang lesen, didapati gagal memastikan Dr Ting Teck Chin iaitu orang yang memberi perkhidmatan anestesia terhadap Syed Alman Zain, mempunyai kelayakan anestesiologi.

Klinik itu didakwa sebagai pemegang lesen telah gagal memastikan individu yang berkhidmat untuk menjalankan prosedur radiologi (orthopantomogram) dan perkhidmatan anestesia secara ‘IV Sedation’ ke atas Syed Alman Zain mempunyai kelayakan berbuat demikian.

Dakwaan lain terhadap premis tersebut ialah gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa pesakit dengan tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas serta gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) satu salinan semua rekod perubatan Syed Alman Zain semasa dia dipindahkan ke sana.

Klinik berkenaan turut didakwa gagal menyimpan dan menyenggara suatu daftar kakitangan, memastikan kehendak pelabelan ubat dipatuhi serta tidak mengambil langkah yang cukup untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di klinik yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara jam 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.

Tujuh pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000, jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement