Anda di sini

Pengerusi firma kapal Taiwan didakwa menipu

Advertisement

TAIPEI: Pengerusi sebuah syarikat pembuatan kapal di Taiwan yang memenangi kontrak untuk membuat enam kapal tentera laut didakwa dalam kes penipuan pinjaman semalam, sekali gus memberi tamparan kepada cita-cita pulau itu untuk mengembangkan industri pertahanan domestik.

Taiwan bergantung kepada sekutu utamanya Amerika Syarikat (AS) sebagai pembekal senjata terbesar, tetapi Presiden Tsai Ing-wen berusaha untuk mengukuhkan keupayaan pembuatan dan teknologi peralatan tenteranya sendiri sejak memegang kuasa pada Mei 2016.

Ancaman terbesar kepada pulau itu adalah China, yang menganggap Taiwan sebagai wilayah pemisah yang mesti dikembalikan ke dalam lingkungannya, dengan menggunakan kekerasan jika perlu.

Namun kebimbangan berkisar sejak Ching Fu Shipbuilding Co didapati mungkin telah mendapatkan pinjaman secara haram selepas memenangi kontrak kementerian pertahanan pada Oktober 2014 untuk membuat enam kapal pembersih periuk api dengan nilai TW$34.9 bilion (RM44 bilion).

Pengerusi Ching Fu, Chen Ching-nan dan empat lagi, termasuk anak dan isterinya, didakwa Pejabat Pendakwa Raya Daerah Kaohsiung yang menuntut hukuman penjara 30 tahun untuk Chen.

Defendan berkonspirasi untuk memalsukan dokumen dan invois dengan syarikat pesisir pantai bagi mendapatkan pinjaman AS$202 juta (RM747 juta), pendakwa raya menyebut dalam satu kenyataan semalam.

Skandal itu mencemari imej tentera laut dan menyebabkan kerugian TW$13.1 bilion ke atas bank peminjam, katanya.

Pendakwa raya tidak menjumpai sebarang salah laku oleh kementerian pertahanan, yang membubarkan kontrak dengan Ching Fu pada Disember lalu ketika siasatan dijalankan.

Defendan menyebabkan orang ramai untuk bertanya sama ada wujud salah laku dalam proses perolehan oleh tentera laut, menyebabkan usaha tentera laut sejak kira-kira 10 tahun lalu disia-siakan,” kata pendakwa raya.

Tindakan mereka turut merosakkan kepentingan kebangsaan dengan serius.

Taiwan pada tahun lepas melancakan projek kapal selama tempatan pertamanya selepas bertahun-tahun menunggu model AS tanpa sebarang hasil.

Kementerian pertahanan turut mengumumkan pada tahun lepas generasi baharu jet pelatih sedang dibina dan yang dijangka siap pada 2026.

Tsai memberi amaran pada Disember lalu mengenai apa yang beliau sebut sebagai pengembangan ketenteraan oleh Beijing, peningkatan latihan tentera udara dan laut China di sekitar pulau itu sejak beliau memegang kuasa.

Beijing sudah menutup komunikasi rasmi dengan Taipei selepas Tsai enggan mengiktiraf pulau demokratik yang memerintah diri sendiri itu sebagai sebahagian daripada ‘Satu China’. — AFP

Advertisement