Anda di sini

NGO ikrar AS$335j untuk Iraq

Advertisement

Kerajaan Iraq diseru perluas sokongan dan kemudahan bagi NGO

KOTA KUWAIT: Persidangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu situasi kemanusiaan di Iraq pada Isnin mengesyorkan pelaksanaan program pembangunan dan kemanusiaan bernilai AS$335 juta di negara yang terjejas akibat konflik bersenjata itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Persidangan NGO itu bermula kelmarin sebagai sebahagian daripada Persidangan Antarabangsa Kuwait bagi Pembangunan Semula Iraq (KICRI).

Dalam kenyataan akhirnya, peserta menekankan keperluan melaksanakan program dalam bidang kesihatan, perlindungan, pendidikan, pemulihan dan kemanusiaan lain serta respons terhadap situasi kemanusiaan di Iraq, terutama di kawasan terjejas.

Mereka menekankan kepentingan menubuhkan satu mekanisme untuk mengambil tindakan susulan terhadap hasil persidangan itu dan pelaksanaan kesemua program kemanusiaan.

Peserta turut meminta organisasi penyumbang melaksana serta menyelia program itu dengan kerjasama dan koordinasi pihak berkuasa tempatan Iraq, bagi mempromosi prinsip ketelusan dan memanfaatkan sepenuhnya kesemua program bantuan dan pembangunan terbabit.

Peserta menekankan keperluan untuk terus menggabung dan memperkukuh usaha perkongsian kemanusiaan dalam menerima pakai program bantuan bagi menyokong keperluan asas rakyat Iraq, dan membantu penduduk negara itu yang terpinggir dalam pelbagai bidang.

Persidangan itu turut menekankan kepentingan mengutamakan program bantuan dan pembangunan di kawasan paling terjejas tanpa mengabaikan kawasan terjejas yang lain.

NGO terbabit turut menyeru kerajaan Iraq untuk memperluas sokongan dan kemudahan kepada NGO bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan dalam pelaksanaan program pembangunan dan bantuan.

Mereka meminta pihak berkuasa Iraq memberikan maklumat dan dana yang tepat berkaitan situasi kemanusiaan di negara itu serta merangka pelan, program dan keutamaan berhubung situasi kemanusiaan di sana.

KICRI, yang berlangsung selama tiga hari di Kota Kuwait, menghimpun kuasa ekonomi serta organisasi serantau dan antarabangsa untuk menyumbangkan ke arah pembangunan semula Iraq selepas bertahun-tahun terjerumus dalam konflik dan peperangan. — Bernama

Advertisement