Anda di sini

Ibu negara Tonga terkejut kekuatan Gita

Advertisement

Nuku’alofa dibadai teruk sepanjang malam siklon sekuat 230kmsj, kemusnahan meluas

 Gambar serahan John Pulu daripada Tagata Pasifika semalam menunjukkan kerosakan di Nuku’alofa selepas dibadai Siklon Gita malam kelmarin. — Gambar AFP
MUSNAH: Gambar serahan John Pulu daripada Tagata Pasifika semalam menunjukkan kerosakan di Nuku’alofa selepas dibadai Siklon Gita malam kelmarin. — Gambar AFP

NUKU’ALOFA: Nuku’alofa mula menjalankan kerja pembersihan semalam selepas siklon paling kuat pernah dicatatkan di ibu negara Tonga itu merobek bumbung bangunan, menumbangkan tiang elektrik dan menyebabkan banjir kilat besar-besaran, sekali gus menimbulkan keadaan darurat di negara kecil Lautan Pasifik itu.

Pegawai pengurusan bencana veteran terkejut dengan kekuatan Siklon Gita ketika ia membawa ribut selaju 230 kilometer sejam (kmsj) ke pulau dengan penduduk paling ramai di Tonga, Tongatapu.

Bangunan kayu bersejarah di tengah Nuku’alofa, termasuk sebahagian bangunan parlimen Tonga, hanya tinggal rangka selepas badai itu melanda sepanjang malam.

Pokok dan tiang elektrik tumbang menyekat jalan dan kepingan bumbung zink terkopak mengotori ibu kota.

Malam yang amat buruk.

Saya terlibat dalam tindakan bencana selama lebih 30 tahun dan ini adalah situasi terburuk yang pernah saya lihat,” kata Graham Kenna, dari Pejabat Kecemasan Negara, kepada Radio New Zealand.

Malah bangunan Jabatan Meteorologi Tonga turut hilang bumbung, memaksanya untuk menyerahkan tugas mengeluarkan amaran mengenai siklon kepada jabatan tersebut di Fiji.

Kerosakan taufan menutup lapangan terbang antarabangsa, selain Suruhanjaya Tinggi Australia, yang memberi amaran kepada rakyatnya untuk tidak pergi ke negara yang musnah itu.

Namun pegawai berkata, keadaan mungkin lebih buruk kerana taufan tidak mencapai Kategori Lima seperti yang dibimbangi dan kecederaan agak ringan, di mana hanya 33 dimasukkan ke hospital, tiga daripadanya parah.

Polis berkata, seorang lelaki berusia 72 tahun mengalami serangan jantung yang menyebabkan kematian dan siklon itu mungkin telah menyumbang kepada kematiannya.

Ribut kencang memutuskan bekalan elektrik ke Tongatapu petang kelmarin dan memuncak awal pagi semalam ketika lebih 3,000 orang mendapatkan pelindungan di pusat evakuasi.

Tentera membantu membersihkan jalan, membolehkan pasukan pembersihan untuk berpecah dan menilai keseriusan kerosakan.

Bumbung seseorang ada di laman saya, beberapa bangunan mercu tanda lama berusia 100 tahun pula rosak teruk kerana dirobek puing,” kata Kenna.

Di tengah taufan, rangkaian telefon terus beroperasi dan kebanyakan daripada 75,000 orang di Tongatapu berkongsi pengalaman mereka menempuh ribut dalam talian.

Wartawan Pasifik TVNZ Barbara Dreaver berkata, siklon itu berbunyi seperti siulan kereta api barang.

Hotel bergoyang dan dapat didengari bunyi besi berterbangan di luar, air hujan menerobos ke dalam bilik tingkat dua,” katanya dalam Twitter.

Lord Fusitu’a, ahli pewaris dalam parlimen Tonga, menulis: “Saya dapat merasakan bilik saya bergoyang hingga ke asasnya, malam tadi sememangnya malam yang amat panjang.”

Apabila siklon itu bergerak ke laut awal semalam, beliau berkata, Nuku’alofa telah mengalami ‘dos keajaiban’.

Hairannya #TCGita seakan-akan sudah reda dan kita mengelak keadaan terburuk,” tulisnya dalam Instagram.

Taufan itu sudah mencetuskan huru-hara ketika ia membadai Samoa pada hujung minggu lepas dan pihak berkuasa di Tonga mengisytiharkan keadaan darurat sebelum ia melanda.

Sementara banjir kilat besar-besaran, Kenna lega impak banjir taufan ke atas permukaan Tongatapu yang rata adalah kurang daripada jangkaan.

Ia turut melintasi selatan ibu negara dan tidak membadainya secara langsung.

Namun jabatan kaji cuaca memberi amaran ancaman Gita belum berakhir dan ia masih dapat mencapai Kategori Lima tatkala ia mara ke kepulauan terpencil Ono-i-Lau yang tidak dihuni ramai penduduk di Fiji awal hari ini.

Philip Duncan, ketua pegawai kaji cuaca di Jabatan Kaji Cuaca New Zealand, berkata selepas itu ia mungkin melintasi Norfolk Island dan New Caledonia sebelum ia reda di ruang udara New Zealand minggu depan.

New Zealand mengumumkan bantuan NZ$750,000 dan mengerahkan sebuah pesawat tentera udara untuk menghantar bekalan ke Tonga.

Australia menghantar sebuah pesawat tentera yang membawa bekalan kecemasan bernilai AUS$350,000. selain pakar tindakan bencana. — AFP

Advertisement