Anda di sini

Polis tembak mati penjenayah di Jalan KKIP Sepanggar

Advertisement
_

KOTA KINABALU: Polis menembak mati seorang lelaki dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar dekat sini awal pagi tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid dalam kejadian pukul 2 pagi itu, polis yang sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah di kawasan Jalan 1Borneo telah terserempak dengan sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika cuba ditahan suspek berkenaan melarikan diri dan polis mengejar penjenayah tersebut. Apabila sampai di Jalan KKIP suspek telah terbabas, sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

"Anggota polis kemudian melepaskan tembakan ke arah suspek terbabit bagi mempertahankan diri, menyebabkan suspek mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol revolver .38, lima butir peluru hidup, tiga kelongsong peluru, dan tiga lagi peluru hidup di poket seluar suspek berkenaan.

"Turut ditemui sebuah beg sandang berisi beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pecah rumah," katanya.

Razarudin berkata polis sedang mengenal pasti identiti suspek dan cap jari suspek telah dihantar ke Bukit Aman untuk memastikan sama ada lelaki itu warganegara Malaysia atau tidak.

"Hasil siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan suspek telah dilaporkan hilang di Tamparuli 5 Feb lepas," katanya.

Beliau berkata penglibatan dan rekod jenayah suspek akan diketahui apabila identitinya dikenal pasti dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Advertisement