Anda di sini

KWSP tinjau Amerika Latin destinasi baharu pelaburan

Advertisement

Peningkatan portfolio aset global akan memberi kepelbagaian

 Shahril berucap pada taklimat berhubung dividen KWSP 2017 Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah di Bangunan KWSP di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
PULANGAN TERTINGGI: Shahril berucap pada taklimat berhubung dividen KWSP 2017 Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah di Bangunan KWSP di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang meninjau peluang pengembangan ke pasaran Amerika Latin sebagai usaha meningkatkan portfolio aset globalnya kepada 32 peratus tahun ini berbanding 28 peratus pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, peningkatan dalam portfolio aset di luar negara akan memberikan KWSP kepelbagaian dan pulangan bagi memenuhi jangkaan pencarum.

Seperti mana dana pencen lain di seluruh dunia, kami perlu mempunyai portfolio seimbang dan meningkatkan pendedahan sebanyak mungkin bagi pertumbuhan di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita pada taklimat berhubung dividen 2017 KWSP di sini, semalam.

Katanya, pelaburan di luar negara turut memberikan pulangan yang tinggi, menyumbang sebanyak 41.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan, walaupun ia hanya 28 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan tahun lalu.

Carta sejarah kami me-nunjukkan bahawa aset global memberikan kepelbagaian yang diperlukan serta pende-dahan untuk pertumbuhan, yang mana ia penting untuk KWSP terus menjalankan tanggungjawabnya dan memberikan pulangan yang baik yang diharapkan pencarum,” katanya.

Katanya, dengan mempelbagaikan ke pasaran luar negara, membantu KWSP menyediakan ganjaran jika berlaku penurunan pada mana-mana pasaran pelaburannya dan juga untuk terus berkembang.

Setakat tahun lalu, KWSP hadir di 30 pasaran, terutama di pasaran negara maju, Asia Utara dan ASEAN.

Berkenaan Simpanan Syariah, Shahril berkata, setakat tahun lalu, ia menarik kira-kira 700,000 pencarum membabitkan simpanan sebanyak RM68 bilion daripada RM100 bilion yang diperuntukkan.

KWSP mempunyai 14 juta pencarum dengan jumlah dana sebanyak RM768.51 bilion, katanya.

Katanya, aset Syariah membentuk 47.5 peratus daripada keseluruhan pendedahan aset KWSP dan menyumbang 42.9 peratus daripada keseluruhan pendapatan tahun lalu.

Prestasi yang kurang dalam pelaburan Syariah adalah disebabkan oleh sektor minyak dan gas serta telekomunikasi mudah alih,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pelaburan Syariah menyum-bang 36 peratus kepada pengagihan dividen simpanan konvensional ke atas 100 peratus sumbangan simpanan Syariah.

Sabtu lalu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.9 peratus bagi simpanan konvensional membabitkan pembayaran sebanyak RM44.15 bilion dan dividen sebanyak 6.4 peratus bagi simpanan Syariah dengan jumlah pembayaran RM3.98 bilion. — Bernama

Advertisement