Anda di sini

Kerajaan pusat sentiasa laksana inisiatif sejahterakan rakyat

Advertisement

LABUAN: Pelbagai inisiatif mensejahterakan rakyat sentiasa dilaksanakan kerajaan untuk memastikan rakyat termasuk di Labuan mendapat manfaat yang terbaik.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kementerian melalui Perbadanan Labuan membantu golongan miskin dan sederhana melalui Program Memperkasa Ekonomi Bumiputera (MEB).

Antara program itu adalah seperti membina infrastruktur dan fasiliti Premis Perniagaan Gerai Makan Ikan Bakar Kiamsam, menyediakan ruang niaga makanan untuk usahawan tempatan berniaga makanan berasaskan laut dengan kadar sewa yang munasabah.

MEB juga membina enam gerai jualan ikan di kampung bagi membolehkan ikan dijual pada harga lebih rendah daripada harga pasaran, memberi bantuan peralatan enjin sangkut, bahan membuat bubu dan kursus asas bina bubu untuk meningkatkan hasil tangkapan.

Selain itu, kerajaan juga memberi bantuan peralatan dan memproses ikan bagi meningkatkan jualan di pasaran tempatan dan antarabangsa, memberi bantuan deposit perniagaan kenderaan bergerak sebanyak RM10 ribu kepada setiap peniaga Bumiputera yang berkelayakan dan sedang membangunkan industri perikanan ikan bilis melalui bantuan penyediaan infrastruktur bagang sebanyak RM15 ribu kepada nelayan di Labuan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kenduri 1Wilayah Persekutuan Labuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018 pada Ahad.

Tengku Adnan berkata, melalui Program Labuan Go Green sebanyak 28 ribu benih pokok kelapa pelbagai varieti seperti matag, pandan dan juga Malayan Red Dwarf diedar kepada penduduk kampung.

Program ini adalah salah satu inisiatif untuk membantu menangani masalah kenaikan harga barangan keperluan harian yang tinggi, antaranya hasil pertanian seperti kelapa dan santan kelapa, seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat di Labuan,” katanya.

Beliau telah memaklumkan Jabatan Pertanian Labuan untuk membuat ‘soil profiling’ bagi melihat kesesuaian jenis buah-buahan untuk ditanam secara besar-besaran.

Bagi membantu meningkatkan penjualan produk laut sejuk beku/segar di Labuan, beliau menjelaskan pihak kementerian masih menunggu keputusan akhir Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi mengecualikan polisi tidak membenarkan makanan laut sejuk beku/segar sebagai barang daftar masuk kargo.

Saya amat berharap pihak MAB memberi pertimbangan segera serta mencari penyelesaian terbaik agar dapat membantu komuniti nelayan tempatan memasarkan hasil tangkapan mereka sebagai salah satu produk untuk dibawa pulang oleh pelancong,” katanya.

Kenduri 1Wilayah yang dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan itu dihadiri kira-kira 3,000 penduduk.

Advertisement