Anda di sini

Nahas maut bas dua tingkat di Hong Kong

Advertisement
 Anggota bomba menjalankan siasatan di tempat kejadian susulan nahas bas dua tingkat di Hong Kong, kelmarin. — Gambar AFP
BERSELERAKAN: Anggota bomba menjalankan siasatan di tempat kejadian susulan nahas bas dua tingkat di Hong Kong, kelmarin. — Gambar AFP

Pemandu marah ditegur lambat bertindak memandu laju, menyebabkan 19 maut, 65 cedera

HONG KONG: Pihak polis Hong Kong menyatakan semalam mereka sedang menyiasat satu kemalangan bas yang menyebabkan 19 kematian dan puluhan kecederaan, tatkala pemandu bas terbabit ditangkap atas tuduhan memandu secara melulu.

 Bas dua tingkat itu terbalik petang kelmarin berhampiran pekan Tai Po di utara New Territories, dan dipercayai melanggar tiang lampu.

 Seramai 19 terkorban dan 65 tercedera, sebahagian daripada mereka dalam keadaan kritikal, menurut polis tempatan.

 “Pemandu bas berusia 30 tahun itu ditahan kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dan pemanduan berbahaya yang menyebabkan kecederaan teruk.

 “Lelaki terbabit masih ditahan untuk soal siasat lanjut,” menurut pihak polis dalam satu kenyataan awal semalam.

 Kebanyakan mangsa yang tercedera dan beberapa mangsa yang meninggal dunia dudul dalam dek atas bas, Chan Hing-yu dari jabatan bomba memberitahu wartawan.

 Pemandu itu disyaki memandu melebihi had laju ketika bas menuruni cerun lalu hilang kawalan, pesuruhjaya kanan trafik Lee Chi-wai memberitahu wartawan.

 Dia tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan selepas kemalangan tersebut dan didapati dalam keadaan tidak mabuk, tambah beliau.

 Bercakap kepada media tempatan, penumpang memberitahu bas itu bergerak terlalu laju sebelum kemalangan.

 “Bas lebih laju berbanding kebiasaan,” seorang penumpang tercedera memberitahu edisi dalam talian South China Morning Post.

 “Kemudian kami berasa seperti tayarnya terbabas lalu bas pun terbalik, keadaan di dalam bas amat tegang.

 “Penumpang jatuh bertindihan dan terpelanting ke bahagian lain,” terang beliau.

 Sebelum kemalangan, para penumpang menegur pemandu yang dilaporkan lewat 10 minit dan dia kemudian mula memecut laju, lapor Apple Daily, memetik kenyataan penumpang yang tercedera di tempat kejadian.

 Seorang penumpang yang tercedera memberitahu Oriental Daily bahawa pemandu dilihat mempunyai niat menggunakan bas itu untuk melampiaskan rasa marahnya kerana ditegur penumpang.

 Anggota perundangan Lam Cheuk-ting dari Parti Domestik menggesa kerajaan agar memikirkan semula rekaan bas dua tingkat, menyatakan bahagian atas sudah beberapa kali tercabut dalam kemalangan, sekali gus mewujudkan ancaman serius terhadap penumpang yang berada di tingkat atas.

 Beliau juga menyeru kepada kerajaan untuk menangani isu mengenai ramai pemandu yang terpaksa bekerja untuk tempoh yang terlalu lama.

 Pemimpin bandar Carrie Lam, yang melawat mangsa terselamat di Hospital Prince of Wales lewat kelmarin, menyuarakan rasa sedih dan berikrar siasatan bebas akan dilakukan.

 Bandar selatan China itu mempromosikan sistem pengangkutan awamnya sebagai antara yang terbaik di dunia namun kemalangan maut sering berlaku.

 Kemalangan jalan raya terburuk di Hong Kong berlaku pada 2003 ketika sebuah bas dua tingkat bertembung dengan sebuah trak lalu terhumban dari jambatan, membunuh 21 orang.

 Pada 2008, 18 terbunuh dalam satu lagi kemalangan bas.

 — AFP

Advertisement