Anda di sini

Ambil Tanggungjawab Atas Kerjaya Sendiri

Ketika saya memegang jawatan sebagai ketua Sumber Manusia (SM), saya terpaksa berurusan dengan Heather (bukan nama sebenar). Selama lebih 20 tahun, Heather menghambakan diri kepada syarikat, tetapi dia jarang menonjolkan diri.

Dalam proses penstrukturan semula syarikat, tugas Heather menjadi lewah. Heather amat kecewa dan menyuarakan kekesalan dan kemarahannya kerana kesetiaan dan pencapaiannya selama ini tidak dihargai oleh syarikat.

Tatkala Heather meluahkan rintihannya, saya berasa cukup sedih. Ibarat menunggu buah yang tidak gugur, Heather telah bekerja keras dan mengharapkan syarikatnya menguruskan kerjayanya. Namun, dia hampa teruk.

Selama 20 tahun, dia bertungkus-lumus menyiapkan segala tugasan tetapi tidak mengambil bahagian dalam perancangan dan pengurusan kerjayanya sendiri. Dia hanya mengharapkan SM dan ‘bos-bosnya’ untuk ‘mengurus kerjayanya’. Malangnya, itu semua sia-sia belaka.

Kisah Heather ini bukan kes terpencil. Agak memeranjatkan kerana ramai orang percaya bahawa urusan kerjaya mereka adalah tanggungjawab SM. Sebahagian daripada masalah ini mungkin terjadi kerana ketua SM ‘bersikap bagai Tuhan’ dan meyakinkan tenaga kerja bahawa SM ada rancangan besar untuk kerjaya mereka dan SM akan mengatur dengan bijak kembara kerja mereka menaiki tangga korporat.

Bagi saya yang pernah melihat dan bekerja dengan beberapa syarikat terbaik di dunia, saya tahu kebanyakan syarikat tidak mempunyai perancangan kerjaya untuk semua tenaga kerja dalam organisasi. Mungkin ada beberapa organisasi sahaja yang memantau kumpulan pekerja yang berpotensi tinggi tetapi bagi majoriti daripada kita, masa hadapan kita tidak dirancang dengan teliti.

Perancangan kerjaya adalah proses yang bersifat individualistik. Tiada dua orang yang sama, mempunyai latar belakang atau aspirasi kerjaya yang sama. Setiap daripada kita dicipta berbeza dengan cita-cita dan harapan berbeza dan majikan kita (atau SM) tidak mungkin ketahui ini semua (kerana selalu berubah-ubah). Maka adalah hampir mustahil bagi SM atau bos kita untuk merancang kerjaya kita. Jadi, ada baiknya kita membebaskan minda daripada mitos yang syarikat kita sedang merancang kerjaya kita.

Mitos mengharap

Entah kenapa, kerana kita mendapat tempat di universiti berdasarkan gred yang bagus di sekolah, dan pencapaian baik di universiti membolehkan kita mendapat kerja yang hebat, kita percaya perkara yang sama akan berlaku di tempat kerja. Kita percaya jika kita bekerja kuat dan setia kepada syarikat, kita akan dijaga dan mungkin akan dinaikkan pangkat pada masa yang tertentu. Pandangan ini diperkuatkan lagi apabila kita melihat kalangan mereka yang 'setia' kini memegang jawatan bos.

Tetapi malangnya, kisah kesetiaan yang dihargai kini menjadi lapuk. Abad ke-21 ini adalah alam baharu. Pada masa dahulu, memegang jawatan yang sama menunjukkan yang kita pekerja yang setia dan membolehkan kita menjadi pakar dalam tugas itu. Dalam dunia yang kian berubah ini, kekurangan pergerakan kerjaya mungkin menunjukkan yang kita tidak berkembang.

Michael Slade, seorang pengarah SM, pernah berkata: “Ramai orang berfikir, ‘Orang akan perasan jika saya bekerja lebih kuat.’ Tetapi ia tidak semestinya begitu.

Jika anda ingin maju ke hadapan, anda perlu menanggung sedikit sebanyak tanggungjawab itu,"

Rakan kongsi wanita pertama di Accenture, Susan Butler, yang menulis buku 'Become the CEO of You, Inc.' teringat bagaimana dia berhempas-pulas menyiapkan setiap projek yang diberi. Tetapi apabila tiba masa untuk kenaikan pangkat, namanya sering tercicir. “Saya tidak tahu, tetapi saya sedari perkara ini kemudian, yang saya kena melaksanakan kerja yang saya mahukan sebelum saya dinaikkan pangkat,” katanya.

Uruskan kerjaya sebagai syarikat sendirian berhad

Saya percaya yang kita harus mendekati kerjaya kita sama seperti menguruskan sebuah syarikat sendirian berhad. Jika kita ingin menyiapkan diri sama seperti menubuhkan syarikat, kita terpaksa merumuskan rancangan ‘kerjaya’ perniagaan, mengumpulkan lembaga pengarah yang akan menasihat dan membantu perkembangan kita menjadi lebih proaktif dalam ‘menjual’ diri, sama seperti sebuah syarikat menjual produk atau perkhidmatannya.

Artikel berkaitan: Asahkan Kapak Anda Demi Pertumbuhan Peribadi

“Kebanyakan daripada kita membiarkan perkara berlaku kepada kita dan bukannya mengambil tindakan untuk merealisasikannya,” kata Butler. Dia turut memberi ingatan kepada mereka yang sering menganggap diri sebagai mangsa dan menanti sesuatu terjadi dalam hidup mereka dan bukannya mendorong pertumbuhan secara proaktif. Dia menambah, “kita hanya hidup sekali dan jika kita tidak bertanggungjawab ke atas diri kita, siapa yang hendak kita harapkan?”

Kebanyakan daripada kita mungkin tersilap meletakkan beban kerjaya kita pada SM atau pengurus kita. Jangan lakukan itu - ini adalah masa hadapan anda. Ia terlalu penting untuk dilepaskan ke dalam tangan orang lain. Jangan biarkan orang lain menentukan masa hadapan. Bagi yang biasa bergantung kepada orang lain sepanjang hidup mereka, langkah pertama untuk menentukan kerjaya sendiri mungkin sesuatu yang menakutkan.

Di mana hendak bermula?

Semasa Sukan Olimpik, atlet yang terbaik akan memenangi pingat emas. Tetapi sebelum mereka memenangi emas, terlebih dahulu mereka menetapkan azam dalam jiwa untuk memenangi pingat emas itu. Semuanya bermula dengan matlamat. Begitu juga dengan kerjaya anda. Cara terbaik untuk berjaya dalam kerjaya bermula dengan matlamat.

Tuliskan matlamat anda. Kajian yang dijalankan oleh Gail Matthews dari Universiti Dominican membuktikan bahawa

“mereka yang menulis matlamat mereka mencapai kejayaan yang penuh bermakna daripada mereka yang tidak menulis matlamat mereka.”

Ada yang percaya bahawa kejayaan Abraham Lincoln bermula apabila beliau menulis matlamatnya. Katanya, “Sekiranya anda menetapkan matlamat anda dengan sempurna, anda sebenarnya sudah sampai ke separuh jalan pencapaian."

Kemudian kongsi matlamat itu dengan orang lain. Ini akan membuatkan kita merasa lebih bertanggungjawab dan komited untuk bekerja ke arah melaksanakannya.

Langkah terakhir adalah membina pelan untuk mencapai matlamat tersebut dan melaksanakan pelan itu. Kita mesti memiliki sepenuhnya pelan kerjaya kita. Jangan tunggu orang lain memberi maklum balas atau membuat keputusan tentang langkah kita yang seterusnya.

Fahami kekuatan dan keperluan untuk perkembangan diri - dan sediakan pelan tindakan yang proaktif. Kita tidak akan mencapai objektif karier melainkan kita menyedari di mana kekuatan dan kelemahan kemahiran diri. Jangan segan untuk meminta sokongan dan nasihat sepanjang kembara ini.

Clement Stone mengingatkan kita:

“tidak kira betapa teliti anda merancang matlamat anda, ia tidak akan menjadi lebih daripada impian melainkan anda memburunya dengan penuh semangat.”

Akhir kata

Perkembangan dan takdir kerjaya kita adalah tanggungjawab kita semata-mata. Ini bermakna kita perlu menentukan apakah kecekapan, kemahiran dan kepakaran yang diperlukan untuk mencapai matlamat kerjaya kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk merealisasikannya.

Jadi, berhenti menyalahkan ‘orang lain’ dan bertanggungjawab untuk kerjaya sendiri. Ketika Nelson Mandela berada di penjara, beliau terbaca sebuah puisi berkenaan jiwa yang tidak dapat ditakluki. Ia berakhir dengan kata-kata berikut:

"Aku adalah tuan bagi takdirku, aku adalah nakhoda bagi jiwaku.”

Banyak perkara di dunia ini berada di luar kawalan kita. Kerjaya kita bukan salah satu daripadanya. Kita boleh menjadi tuan kepada kerjaya kita - dengan syarat kita mengambil tanggungjawab ke atasnya.

Sumber