Anda di sini

Sheila On 7 nyata masih di hati peminat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih dua dekad mencipta nama dalam persada seni, kumpulan popular Indonesia, Sheila On 7 (SO7) ternyata masih ‘menyengat’ dan sentiasa mendapat tempat di hati peminat. 

Buktinya, konsert SO7 Live In Kuala Lumpur di StarXpo Center, KWC Fashion Mall, di sini malam tadi gamat dengan sorakan kira-kira 7,000 peminat yang hadir.   

Dalam konsert dua jam bermula 9 malam itu, peminat yang terdiri daripada pelbagai generasi seakan histeria sebaik melihat kelibat vokalisnya, Akhdiyat Duta Modjo atau dikenali sebagai Duta, membuka tirai dengan dendangan lagu ‘Hari Bersamanya’. 

“Kami terbang jauh dari Indonesia dengan hanya satu tujuan, untuk melihat semua yang ada di sini gembira malam ini. Terima kasih atas sokongan setia anda selama ini, tidak kira dari dalam atau luar Kuala Lumpur, semoga terhibur dengan persembahan kami,” ujar Duta di atas pentas. 

 Facebook Sheila on 7
Sumber foto: Facebook Sheila on 7

Kumpulan rock alternatif yang ditubuhkan sejak 1996 itu, turut mengotakan janji untuk mengubati kerinduan peminat melalui persembahan lagu hit lain antaranya ‘Sephia’, ‘Dan’, ‘Pria Kesepian’, ‘Itu Aku’ dan ‘Seberapa Pantas’ dengan susunan muzik yang lebih matang. 

Single terbaru mereka berjudul ‘Film Favorit’ yang baharu dilancarkan hujung Januari lepas turut diperdengarkan secara langsung buat kali pertama di Malaysia. 

Malah atas permintaan ramai, lagu Berhenti Berharap menjadi antara 15 lagu yang dinyanyikan walaupun Duta sebelum ini pernah menyatakan kurang berkeyakinan membawa lagu bernada tinggi tersebut atas faktor usia. 

Kali terakhir SO7 membuat persembahan di Malaysia adalah pada 2016. - BERNAMA

Advertisement