Anda di sini

Lapan penolong pegawai perubatan didenda guna dokumen tuntutan Penyata Elaun Lebih Masa palsu

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, mengenakan denda sejumlah RM115,000 terhadap lapan penolong pegawai perubatan kerana menggunakan dokumen tuntutan Penyata Elaun Lebih Masa palsu berjumlah RM126,757.24.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rosidih Mohd Saidi, 38, Zulkifli Arun, 29, Terence Linchos, 38, Juraineh Musalim, 28, Jaduin Untop, 31, Noor Salim Mohd Zain, 27, Mohd Akmal Hafiz Mohamad Ariff, 25, dan Naza Fadirul@ Mich Abd Satar, 34,

Abu Bakar menasihatkan agar menjadikan kes berkenaan sebagai pengajaran kepada mereka, supaya menjaga amanah yang diberikan.

Kerja di mana-mana harus jujur, jangan mengambil kesempatan. Selain kita mendapat hukuman, keluarga juga akan mendapat malu,” katanya.

Noor Salim dan Mohd Akmal masing-masing dikenakan denda RM12,000, Mohd Rosidih dan Zulkifli didenda RM15,000 dan RM14,000.

Manakala Terence, Juraineh, Jaudin dan Naza setiap mereka didenda RM17,000, RM7,000, RM18,000 dan RM20,000.

Jika gagal membayar denda, mereka dikenakan penjara tiga bulan, kecuali Naza dan Jaduin dikenakan penjara empat bulan dan Juraineh penjara dua bulan untuk setiap pertuduhan.

Pada 1 Februari, semua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 465 kanun sama.

Mohd Rosidih, Terence, Jaduin dan Zulkifli  didakwa atas lima pertuduhan menggunakan dokumen tuntutan Penyata Elaun Lebih Masa palsu, bagi bulan Januari hingga Mei 2016.

Noor Salim, Mohd Akmal dan Naza Fadirul juga didakwa lima pertuduhan sama, bagi lima bulan berkenaan.

Manakala Juraineh menggunakan tiga dokumen tuntutan palsu, bagi Januari hingga Mei 2016.

Kesalahan dilakukan pada Februari hingga Jun 2016 di Pejabat Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Sabah, Wisma Perindustrian, di sini.

Dalam rayuan bertulis peguam Ram Singh yang mewakili Naza Fadirul, Mohd Rosidih, Zulkifli, Terence, Juraineh dan Jaduin memohon setiap anak guamnya tidak dikenakan penjara.

Menurutnya, setiap tertuduh mempunyai tanggungan masing-masing, mereka juga sudah menyesal dan ingin terus berkhidmat dengan masyarakat.

Beliau merayu agar mahkamah mengambil kira semua anak guamnya pesalah pertama, disamping berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

Sementara peguam Hairul mewakili Mohd Akmal, dalam rayuan bertulisnya memohon agar anak guamnya tidak dikenakan penjara.

Katanya, tertuduh yang berkahwin pada tahun lalu, ada menulis surat memohon maaf kepada pihak hospital, di samping menjelaskan mengapa beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rozanna Abd Hani dan Rustam Sanip dari SPRM, meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap semua tertuduh.

Dalam hujahan balas bertulis mereka menjelaskan, semua tertuduh berkhidmat sebagai penolong pegawai perubatan di Hospital Queen Elizabeth, di Jabatan Oftamologi.

Mereka menegaskan, menggunakan dokumen palsu merupakan kesalahan serius, yang mana memberikan keuntungan kepada setiap tertuduh.

Pihak pendakwaan juga memohon agar mahkamah memainkan peranan, dalam mengurangkan kesalahan rasuah serta salah laku melibatkan kewangan dan dokumen.

Advertisement