Anda di sini

Cegah gejala sosial sebelum parah

Advertisement
 Roshaidin mengendalikan bicara bertajuk ‘Gejala Sosial Masa Kini’ di Pustaka Miri, baru-baru ini.
IKON: Roshaidin mengendalikan bicara bertajuk ‘Gejala Sosial Masa Kini’ di Pustaka Miri, baru-baru ini.

GEJALA sosial ditakrifkan sebagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.

Berkongsi pendapat, Ikon Guru Daerah Miri 2017 Ustaz Roshaidin Othman berkata, gejala merangkumi kesalahan etika dan moral seseorang sama ada di peringkat usia muda ataupun dewasa. Namun fokus diberikan kepada golongan muda kerana mereka pewaris kepimpinan masa akan datang.

Cegah sebelum parah. Inilah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan betapa pentingnya mengawal gejala sosial ketika ini, termasuk di Miri,” tegasnya.

MUDAH TERDEDAH

Amalan cara hidup moden sekarang semestinya memberi kesan kepada semua peringkat masyarakat termasuk pelajar.

Golongan ini mudah terdedah dengan anasir-anasir yang menyusup masuk dalam kehidupan seharian mereka terutama melalui penggunaan telefon pintar dan Internet tanpa kawalan.

Sebahagian mereka akan menghabiskan masa bermain permainan dalam talian dan mengakses paparan negatif di telefon.

Keadaan ini seterusnya membawa kepada wujudnya masalah yang lain iaitu pergaulan bebas dan gejala sosial yang lain.

Lebih teruk lagi, ketagihan penggunaan telefon bimbit telah membawa remaja ini kepada masalah membawa telefon ke sekolah tanpa disedari guru.

Mereka bertindak berkongsi video lucah sesama rakan sama ada dalam kelas ataupun bilik khas, berswafoto secara berleluasa sekitar kawasan sekolah semasa sesi persekolahan walaupun ketika guru sedang mengajar, malah berkomunikasi dengan rakan dan orang luar menggunakan talian WhatsApp, Wechat, Facebook dan sebagainya ketika di sekolah,” katanya lagi.

Roshaidin berkata, semua ini memberi ruang kepada penularan unsur negatif dalam kawasan sekolah menyebabkan pelajar kurang fokus untuk menuntut ilmu.

PENGAKUAN

Menurut Roshaidin, daripada pengakuan pelajar yang terlibat dalam program ceramah kesedaran diri, lebih separuh daripada peserta pernah menonton video lucah.

Kajian adalah daripada penganjuran aktiviti itu selama 10 tahun di Miri yang dikendalikan beliau.

Mereka menonton video lucah di sekolah dan di rumah, memperoleh video lucah yang ditemui di rumah dan menonton video lucah semasa bermain permainan online di kafe siber.

Selain itu, sebahagian juga mengaku pernah terlibat dengan aktiviti seksual sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti meraba, bercium bahkan ada yang melakukan hubungan seksual tanpa nikah.

Sementara yang lain mengaku pernah memasukkan pil terlarang ke dalam badan dan terlibat dalam gejala sosial yang sangat membimbangkan guru dan pihak sekolah.

Bahkan ramai mengaku menghisap rokok dan vape sejak dari zaman sekolah rendah lagi,”  tambahnya.

ROSAK DISIPLIN

Roshaidin berkata, penglibatan mereka dalam kancah sosial disebabkan  perasaan ingin mencuba sesuatu yang baharu walaupun telah mengetahui kemudaratannya.

Mereka berasa kurangnya kawalan, perhatian dan kasih sayang keluarga di samping pengaruh rakan sebaya.

Ada yang memberitahu ibu bapa dan penjaga telah memberikan mereka sepenuhnya kebebasan dengan membelikan telefon bersama pelan data yang tidak dikawal, memberikan wang untuk ke kafe siber.

Ada dalam kalangan ibu bapa juga tidak ingin mengambil tahu kalangan teman dan lokasi arah tuju anak mereka selepas waktu sekolah.

Ada ibu bapa yang turut kesal dengan sikap anak yang gemar berbohong. Contohnya dengan menggunakan alasan ke perpustakaan untuk keluar rumah tetapi sebaliknya melepak ke pusat beli-belah.

Ada juga yang menipu ibu bapa dan penjaga untuk berpeleseran dan melakukan perbuatan negatif sedangkan pada anggapan ibu bapa anak mereka sedang belajar berkumpulan atau membuat tugasan sekolah bersama rakan,” tegas beliau.

Ikon Guru Muda 1Malaysia 2016 itu berkata, sikap anak yang tidak makan nasihat dan teguran memaksa mereka untuk bersikap drastik sebagai memberi disiplin dan pengajaran untuk berubah.

Seorang ibu pernah merayu pihak sekolah menghubungi polis untuk menangkap anaknya bertujuan untuk menakutkan dan memberi kesedaran agar tidak melakukan kesalahan. 

Ada ibu bapa bertindak mendapatkan khidmat nasihat dan memohon sesi ceramah khas untuk anak dengan harapan anak kembali patuh dan mendengar kata-kata mereka.

Ini semua menunjukkan kekhuatiran ibu bapa betapa dunia tanpa sempadan dan masalah gejala sosial sedang dan bakal memberi kesan kepada kehidupan anak jagaan mereka suatu hari nanti,” jelas Roshaidin.

HILANG HORMAT

Dahulu, perasaan hormat terhadap ibu bapa dan guru di sekolah sangat tinggi, bercakap sopan dan lemah lembut, berjalan di hadapan ibu bapa dan guru dengan tunduk hormat dan memberi ucapan selamat.

Guru dipandang mulia dan diberikan sepenuh kepercayaan untuk mendidik anak jagaan mereka.

Tetapi kini, dengan kesibukan kerja, menyempitkan ruang masa ibu bapa bersama anak-anak, menyebabkan anak-anak mencari alternatif hiburan luar untuk mengisi rasa sunyi di rumah.

Dibekalkan pula anak dengan telefon dengan tujuan untuk mudah dihubungi, sebaliknya menjadi penyakit apabila digunakan untuk perkara yang tidak  sepatutnya.

Pelbagai permainan video dan aplikasi memberikan mereka ruang dan peluang melayari mata dengan perkara yang tidak sepatutnya.

Faktor kurang kasih sayang dan perhatian serta terlalu memanjakan anak sehingga membiarkan anak ponteng sekolah antara penyebab mereka terjebak dalam gejala sosial.

Sikap tidak mahu bekerjasama dengan sekolah serta tidak mahu mengambil tahu aktiviti masa lapang anak dan tidak risau rakan kenalan anak menyebabkan anak berasa bebas melakukan apa yang mereka mahu termasuk melakukan kesalahan.

Ada antara ibu bapa sebaliknya menyalahkan sekolah sekiranya anak mereka didapati bermasalah disiplin di sekolah. Menuding sepenuhnya kesalahan kepada guru,” kata Roshaidin.

Memang tidak dinafikan ada guru bertindak mengenakan denda yang memberi kesan fizikal dan emosi kepada pelajar. Tetapi itu semua bukan menggambarkan keburukan kerjaya guru secara kolektif.

Guru bukan sahaja perlu mengajar mengikut silibus yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bahkan mendidik pelajar supaya berdisiplin agar penyampaian ilmu tidak terganggu dan menjejaskan pelajar lain yang ingin belajar.

Sekarang perasaan hormat pelajar kepada guru sudah semakin kurang, senipis kulit bawang. Banyak kes pelajar yang berlaku kurang sopan memberi gelaran tidak baik kepada guru mereka, menconteng nama guru dalam tandas sekolah dan tempat tunggu bas.

Media sosial juga dijadikan medan untuk mereka mengutuk guru secara terbuka. Bahkan hingga sampai menconteng kereta guru, mengugut dan mencederakan emosi dan fizikal guru. Tidak dinafikan betapa ada pelajar yang sangat baik dan berakhlak mulia, namun sekiranya tidak dicegah daripada awal, masa depan generasi muda pelajar ini akan menjadi parah,” tegas Roshaidin lagi.

SEMUA PERLU BANGKIT

Guru SK South itu turut meluahkan rasa bimbang terhadap nasib generasi muda masa depan sekiranya penglibatan belia dalam masalah sosial tidak dibendung.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana generasi yang bakal mengambil alih kepimpinan di peringkat daerah, negeri dan persekutuan atau sekurang-kurangnya peringkat keluarga, akan mentadbir dengan berkepimpinan dan berwawasan dalam membuat keputusan. 

Semua mesti bangkit dan membuka mata betapa masyarakat perlu melakukan sesuatu supaya pewaris yang kita tinggalkan ini berkualiti dan mempunyai jati diri yang kuat,” tegas beliau.

Menurut Roshaidin, kekuatan sebuah negara terletak kepada kekuatan masyarakat. Manakala  kekuatan masyarakat adalah terletak kepada kekuatan institusi keluarga.

Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan yang mesti dimainkan ibu bapa dalam sesebuah institusi keluarga dalam memastikan remaja dapat terhindar daripada gejala kurang sihat seterusnya memiliki kualiti pewaris masa depan.

LUANG MASA

BERSAMA ANAK

Walaupun diakui betapa kesibukan mencari rezeki membataskan masa mereka bersama anak-anak di rumah, namun masih ada ruang dan peranan yang boleh dimainkan ibu bapa dalam mengawal tingkah laku remaja.

Di sekolah, program SARANA Ibu Bapa dibawah Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga untuk turut aktif dalam memberi cadangan dan bergerak bersama membantu pihak sekolah demi masa depan anak-anak.

Berlapang dadalah sekiranya pihak sekolah memanggil ibu bapa ke sekolah untuk berbincang mengenai disiplin anak-anak.

Mereka juga harus memastikan anak-anak hadir ke sekolah, sama ada dalam sesi persekolahan ataupun dalam gerak kerja kokurikulum (GERKO) supaya masa lapang mereka terisi.

Waktu di hujung minggu diselitkan dengan aktiviti bersama keluarga terutama sewaktu makan dan mengelakkan anak menggunakan telefon ketika waktu itu.

Berbual-buallah dengan anak-anak tentang pembelajaran, perancangan dan apa sahaja luahan mereka. Dengarlah mereka sewaktu mereka masih ada depan mata kita sebelum mereka membesar dan meninggalkan ibu bapa berdua menghitung usia hari tua kelak,” nasihat Roshaidin.

TINDAKAN DAN PEMANTAUAN

Ibu bapa perlu mengawal penggunaan telefon bimbit anak dengan melihat kembali ‘history’ penggunaan data telefon anak sama ada digunakan dengan baik atau tidak.

Jangan lupa memantau perbualan dengan melihat komunikasi bertulis melalui aplikasi WhatsApp, Wechat dan Facebook.

Prihatin dengan siapa anak kita berkawan. Ke mana tempat mereka selalu lepak dan ambil tahu kegiatan mereka masa lapang. Rajin-rajinkan diri menjenguk bilik anak. Teliti bawah katil, tilam dan almari di bilik dikhuatiri mengandungi sesuatu yang tidak baik untuk mereka,” saran beliau.

Pastikan bilik anak terbuka ketika mereka melayari Internet dan dicadangkan menggunakan aplikasi ‘parental control’ yang terdapat dalam sesetengah antivirus untuk mengawal akses anak kepada capaian Internet.

Roshaidin meminta guru untuk sabar dan cekal hati dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mendidik remaja zaman moden sekarang.

Guru diminta memperbanyakkan komunikasi dengan pelajar dan ibu bapa. Perbanyakkan komunikasi tentang sikap, akademik dan masa depan pelajar.

Maksimumkan penggunaan media sosial. Maklumkan kepada pihak atasan atau lembaga disiplin sekolah atas sebarang salah laku pelajar. Jangan mengambil tindakan sendiri sehingga menyusahkan guru dan pihak sekolah,” jelas beliau.

Menurut Roshaidin, guru tidak terlepas daripada sebarang kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang oleh ibu bapa dan penjaga sekiranya melakukan kekasaran terhadap pelajar.

Didikan zaman sekarang bukan lagi sama seperti dahulu, rotan hanya diberikan kuasa kepada guru besar atau pengetua atau sesiapa yang diberikan surat kuasa oleh mereka. Tidak boleh sesuka hati,” tegasnya.

Kesimpulannya, untuk membangunkan sesebuah masyarakat adalah dengan membangunkan institusi keluarga terlebih dahulu.

Sifirnya cukup mudah bukan? Tetapi pelaksanaannya memerlukan pengorbanan besar.

Gejala sosial yang melanda masyarakat dapat dicegah sekiranya institusi keluarga berperanan. Sekolah membina ilmu dan kemenjadian pelajar sementara keluarga pula asas kukuh yang mendasari jati diri remaja terbabit.

Ingat, cegahlah seboleh yang mampu sebelum keadaan menjadi parah dan tidak terkawal. Kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan sekarang bila lagi?,” kata Roshaidin.

  • oleh
  • Advertisement