Anda di sini

Agong rasmi Masjid Sultan Muhammad V di Labuan

Advertisement
 Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membaca doa yang dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sejurus baginda tiba di Lapangan Terbang Labuan semalam. — Gambar Bernama
TIBA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membaca doa yang dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sejurus baginda tiba di Lapangan Terbang Labuan semalam. — Gambar Bernama

LABUAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V semalam berkenan merasmikan sebuah masjid yang dinamakan sempena nama Seri Paduka di Kampung Lajau di sini.

Masjid Sultan Muhammad V sebelum ini dikenali sebagai Masjid Al Muhammadiyah Jamek. Ia adalah masjid kedua terbesar di Labuan.

Sultan Muhammad V, yang memakai jubah berwarna putih, berkenan menandatangani plak simbolik perasmian masjid berkenaan.

Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V di masjid itu pada jam 12.43 tengah hari disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli serta lebih 1,000 jemaah.

Seri Paduka kemudian menyertai para jemaah untuk menunaikan solat Jumaat yang dipimpin oleh Imam An-Nur Ustaz Mohd Najeeb Abd Rahim.

Sultan Muhammad V kemudian berkenan  menghadiri majlis jamuan bersama-sama rakyat.

Masjid Sultan Muhammad V, yang menampilkan seni bina kontemporari moden dan Islamik, dibina pada awal 2009 dengan kos sebanyak RM5.1 juta yang diperuntukkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Labuan.

Masjid itu mula digunakan pada 2013 dan boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah.

Seri Paduka kemudian berkenan menghadiri majlis taklimat mengenai pembangunan Labuan yang disampaikan oleh Tengku Adnan di Hotel Dorsett Grand.

Sultan Muhammad V adalah dalam rangka lawatan dua hari ke Labuan bermula kelmarin.

Ini merupakan kunjungan sulung Seri Paduka ke Labuan selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15  pada 13 Dis 2016. — Bernama

Advertisement