Anda di sini

Polis Sabah beri tumpuan 20 kawasan panas

Advertisement
 Salehhudin melancarkan Ops Selamat untuk para petugas Ops Selamat terdiri daripada anggota polis dan anggota dari pelbagai Agensi Kerajaan semalam. — Gambar Bernama
LANCAR: Salehhudin melancarkan Ops Selamat untuk para petugas Ops Selamat terdiri daripada anggota polis dan anggota dari pelbagai Agensi Kerajaan semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Polis Sabah mengenal pasti 20 kawasan panas yang sering berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini dan akan diberi tumpuan dalam Ops Selamat 12/2018 sempena Tahun Baharu Cina yang bermula hari ini hingga 23 Feb depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata langkah itu adalah bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan.

Ops Selamat ini bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya sampai ke destinasi dengan selamat. Selain itu, Ops Selamat ini menekankan kepada keselamatan harta benda atau rumah yang ditinggalkan semasa perayaan.

Pada kali ini, kita juga menumpukan kepada keselamatan di kawasan perairan dan untuk tujuan itu Pasukan Gerakan Marin akan mempertingkatkan operasi mencegah jenayah dengan membuat pemeriksaan secara rawak terhadap bot dan feri di kawasan perairan negeri ini,” katanya ketika berucap melancarkan Ops Selamat peringkat Polis Kontinjen Sabah di sini, semalam.

Salehhudin berkata 634 kes kemalangan jalan raya dilaporkan pada Ops Selamat tahun lepas berbanding 688 kes direkodkan pada Ops Selamat 2016.

Bagaimanapun, katanya, kes kemalangan maut di Sabah mencatat peningkatan pada Ops Selamat tahun lepas iaitu sembilan kes melibatkan 18 kematian berbanding 10 kematian pada Ops Selamat 2016.

Berdasarkan kepada statistik itu walaupun terdapat penurunan pada jumlah kes kemalangan, namun jumlah kematian meningkat. Oleh itu diharapkan pada tahun ini pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan mematuhi segala peraturan lalu lintas, katanya.

Dalam pada itu, Salehhudin turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar tidak memandu melebihi had laju, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan berhenti seketika untuk tidur dan merehatkan diri jika merasa mengantuk.

Langkah itu bertujuan memastikan kemalangan dapat dielakkan, katanya.

Beliau berkata anggota polis yang bertugas pada Ops Selamat kali ini adalah sebanyak 271 anggota termasuk 36 pegawai. — Bernama

Advertisement