Anda di sini

43 penduduk pulau sebatik hadiri temu duga di jpn tawau

Advertisement

TAWAU: Seramai 43 penduduk Pulau Sebatik hadir di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasar Tanjong, di sini pada Selasa, untuk menjalani proses temu duga permohonan MyKad.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Datuk Abdul Muis Picho berkata kejayaan itu dicapai susulan program Unit Khas Bergerak (UKB) JPN Sabah di Sebatik pada 2016.

Kita menyifatkan kehadiran 43 pemohon lulus tapisan awal dari Sebatik ke JPN UTC untuk proses pengeluaran dokumen MyKad sebagai kejayaan kepimpinan DUN Sebatik.

Kesemua mereka terdiri daripada pemohon yang melepasi proses tapisan awal semasa program UKB diadakan oleh JPN pada dua tahun lepas di Sebatik,” katanya.

Ditanya sekiranya program itu mempunyai unsur kepentingan politik berikutan musim pilihan raya yang semakin hampir, beliau dengan tegas menafikan dakwaan itu.

Pihaknya hanya menjalankan peranan sebagai ‘orang tengah’ membantu rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan dan mempermudahkan urusan JPN.

Kita mengusahakan platform kepada rakyat yang mempunyai dokumen lengkap seperti disyaratkan mengikut peruntukan undang-undang untuk memohon secara beramai-ramai.

Pada masa sama, kita juga meminta ketua kampung atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mengesahkan latar belakang setiap pemohon.

Jangan ragui nasionalisme dan patriotisme DUN Sebatik dan jangan pertikaikan bantuan ini kerana dibuat mengikut prosedur di JPN Tawau, bukannya di rumah saya,” katanya.

Muis juga tidak menafikan ada pembangkang mendakwa kononnya beliau ‘mendaftar pengundi hantu’, namun beliau dengan tegas menafikan tuduhan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata mengikut rekod yang diterima pihaknya, ada di antara 43 pemohon yang dibantu DUN Sebatik terdiri daripada penyokong parti pembangkang.

Kita bukan mahu mendaftar pengundi hantu tetapi membantu rakyat tempatan yang benar-benar berhadapan kesulitan untuk mendapatkan hak mereka selama ini.

Jika ada pihak pembangkang di Sebatik yang berhadapan masalah sama, saya alu-alukan mereka datang mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan isu dokumentasi mereka.

Sebagai pemimpin, inilah tanggungjawab dan amanah pucuk pimpinan yang kita pikul untuk membela nasib rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi politik,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai 43 pemohon terbabit, beliau berkata mereka terdiri daripada pemegang sijil lahir daftar lewat yang menghadapi masalah untuk proses dokumentasi.

Syarat yang perlu dipatuhi juga cukup ketat kerana kesemua pemohon perlu ditemani ibu bapa dan saksi seperti Ketua Kampung untuk mengesahkan mereka benar-benar warga tempatan,” katanya.

Menyentuh hal berkaitan, Muis berhasrat mengadakan perbincangan lanjut dengan pengarah JPN Sabah untuk menjalankan program UKB susulan di sekitar Sebatik.

Beliau berkata masih ada rakyat tempatan di kawasan terpencil pulau terbabit seperti Sungai Pisak-Pisak dan Sungai Pukul yang menghadapi masalah dokumentasi.

Kita menerima maklumat masih ada penduduk tercicir dalam program terdahulu, mungkin kerana pemimpin peringkat kampung tidak meuar-uarkan program yang dibuat,” katanya.

Advertisement