Anda di sini

Suspek pecah rumah cuba serang polis ditembak

Advertisement
 Chandra (kanan) menunjukkan topeng yang dirampas daripada suspek, sambil diperhatikan Razarudin (dua kanan), Salehuddin dan Haris (kiri).
BUKTI: Chandra (kanan) menunjukkan topeng yang dirampas daripada suspek, sambil diperhatikan Razarudin (dua kanan), Salehuddin dan Haris (kiri).

PENAMPANG: Polis menembak seorang lelaki tempatan di bahagian kaki selepas suspek pecah masuk rumah terbabit cuba menyerang dua anggota polis menggunakan parang di Batu 10 Jalan Sepanggar, di sini, awal pagi Isnin.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain berkata tembakan yang dilepaskan terhadap suspek menyebabkan individu berumur 31 tahun itu mengalami kecederaan di paha kanan.

Kejadian awal berlaku semasa suspek bersama tiga rakannya yang menaiki van jenis Nissan Vanette terserempak dengan polis peronda yang melakukan rondaan rutin di kawasan Kampung Lokub Sepanggar.

Pemandu kereta terbabit kemudian memecut secara tiba-tiba lalu dikejar oleh polis peronda.

Van yang dinaiki suspek kemudiannya terbabas masuk ke dalam parit semasa membuat pusingan U akibat melanggar sebuah kereta Avanza,” katanya pada sidang media di IPD Penampang pada Selasa.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Salehuddin Abd Rahman, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Haris Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra.

Razarudin berkata tiga daripada lelaki terbabit bertindak melarikan diri sebaik keluar dari van berkenaan manakala suspek mendekati anggota polis bersama parang di tangannya sebelum bertindak agresif.

Bagi mempertahankan diri anggota kita kemudiannya melepaskan tembakan dan terkena bahagian kaki suspek sebelum polis menahannya di lokasi kejadian.

Suspek yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital dan susulan kejadian, seorang lagi rakan sejenayah suspek berumur 20 tahun ditahan kira-kira jam 12 tengah malam hari sama untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya hasil pemeriksaan lanjut terhadap van yang dinaiki suspek menjumpai beberapa senjata termasuklah parang, topeng dan alat pengumpil pintu yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah di kawasan sekitar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Advertisement