Anda di sini

Pemeriksaan kesihatan percuma untuk penduduk

Advertisement
 Tsang (duduk, tengah) turut membuat pemeriksaan kesihatan pada program anjuran Kelab Penyokong Kerajaan dan BN Sabah dengan kerjasama LPPKN.
PERCUMA: Tsang (duduk, tengah) turut membuat pemeriksaan kesihatan pada program anjuran Kelab Penyokong Kerajaan dan BN Sabah dengan kerjasama LPPKN.

SANDAKAN: Penduduk setempat di PPR Taman Harmoni, Kampung Muhibbah di sini telah menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Program itu dianjurkan oleh Kelab Penyokong Kerajaan dan BN Sabah dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada Ahad.

Pemeriksaan kesihatan itu adalah antara pengisian bagi program Pemimpin Bertemu Komuniti Setempat yang dirasmikan oleh Ketua Pemuda Pusat LDP Tsang Hieng Yee.

Antara pemeriksaan kesihatan itu termasuk pemeriksaan BMI, tahap gula dan kolesterol serta ujian pap smear yang ditawarkan secara percuma.

Dalam ucapan perasmiannya, Tsang berkata kerajaan BN sentiasa melaksanakan usaha untuk menyebar kesedaran mengenai aspek kesihatan yang menekankan mencegah lebih baik dari mengubati.

Katanya, pemeriksaan kesihatan percuma seperti yang disediakan dalam program itu adalah contoh usaha kerajaan dalam memastikan rakyat mempunyai akses untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

Saya ingin menekankan mengenai kepentingan kesihatan kerana ia tidak boleh dibeli dengan wang. Berikutan kehidupan kita pada masa kini lebih kompetitif dan mencabar, kesihatan kita juga berdepan ancaman yang lebih hebat dari segi tekanan, pencemaran dan makanan yang kita makan.

Sehubungan itu, terdapat banyak faktor yang memerlukan kita untuk menjaga kesihatan diri. Kita tidak sepatutnya hanya fokus untuk rawatan sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada langkah pencegahan,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat setempat untuk memanfaatkan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan dalam aspek penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Tsang menggesa masyarakat agar terus menyokong sekali gus memberi peluang kepada BN untuk memimpin negara dan juga Sandakan.

Dengan sokongan dan peruntukan daripada kerajaan BN, sekiranya kerusi Parlimen Sandakan kembali semula kepada calon BN, sudah pasti banyak yang boleh dilakukan untuk penduduk di sini,” tambahnya.

Advertisement