Anda di sini

‘Ambil tindakan undang-undang’

Advertisement

Kempen #undirosak menyeru orang ramai untuk merosakkan undi

 Nasrun bergambar dengan sebahagian belia yang hadir pada Program Santai Belia dan Back To School di Lahad Datu.
SANTAI: Nasrun bergambar dengan sebahagian belia yang hadir pada Program Santai Belia dan Back To School di Lahad Datu.

LAHAD DATU: Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Nasrun Mansur mahu kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab menganjurkan kempen #undirosak.

Menurutnya, pendekatan itu perlu dilakukan kerana individu atau kumpulan yang terlibat disifatkannya melakukan pengkhianatan pada konsep demokrasi yang menjadi sistem pentadbiran negara.

Belum ada undang-undang yang mengatakan undi rosak ini satu perbuatan salah tapi menyeru orang untuk merosakkan undi satu perbuatan tidak baik.

Saya rasa kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang terhadap sesiapa yang menggalakkan perbuatan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Silam berkata demikian ketika ditemui selepas Program Santai Belia dan ‘Back To School’ ke Zon-zon Pusat Khidmat Parlimen Silam, di sini, pada Ahad.

Nasrun menjelaskan kempen #undirosak memberi impak negatif kepada negara kerana konsep demokrasi menggalakkan rakyat keluar mengundi beramai-ramai bagi melaksanakan hak undi memilih pemimpin mereka.

Ditanya mengenai pihak yang tidak bertanggungjawab itu, Nasrun berkata berkata ia perbuatan mereka yang kecewa, yang berasakan mereka tidak dapat menang pada pilihan raya.

Saya menyeru semua pengundi terutama pengundi baharu agar tidak terpengaruh dengan #undirosak kerana ia satu perbuatan merugikan, tindakan yang merosakkan negara dan tidak matang untuk masa depan negara,” katanya.

Pada majlis itu, Nasrun mengulas pentingnya belia melaksana hak mengundi bagi menentukan masa depan negara dan menjelaskan isu-isu terkini secara santai kepada lebih kurang 500 belia yang hadir.

Turut disempurnakan ialah penyerahan beg dan keperluan sekolah kepada 50 pelajar.

Kempen #undirosak yang dilancarkan kumpulan tertentu bergiat aktif di media sosial untuk mempengaruhi golongan pengundi muda bagi merosakkan undi mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Kempen itu didapati muncul pada 7 Januari 2018 selepas pembangkang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika menang pilihan raya.

Advertisement