Anda di sini

16 penumpang selamat bot hanyut di perairan Labuan

Advertisement
 Mangsa dibawa ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan menaiki bot peronda Kilat 40 milik APMM.
SELAMAT: Mangsa dibawa ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan menaiki bot peronda Kilat 40 milik APMM.

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 14 (DM14) berjaya menyelamatkan 16 penumpang bot yang hanyut di perairan Labuan pada pagi Selasa.

Pengarah Maritim Labuan Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata kejadian dipercayai berlaku apabila bot berkenaan mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan arus laut.

Bilik Operasi Maritim Labuan dimaklumkan kejadian pada jam 9.15 pagi melalui Jabatan Laut Labuan yang melaporkan mangsa seramai 16 orang termasuk dua kru bot pada kedudukan 0.56 batu nautika selatan Pulau Papan di sini.

Bertindak terhadap kejadian, kita menggerakkan bot peronda Kilat 40 untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya mangsa berjaya ditemukan jam 9.50 pagi dalam keadaan kesejukan berikutan keadaan laut yang bergelora serta hujan lebat semasa kejadian.

Siasatan mendapati bot penumpang yang dinaiki 14 penumpang dan dua kru dalam perjalanan dari Jeti Menumbok menuju ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Bot penumpang terbabit dipercayai mengalami kerosakan semasa dalam pelayaran dan keadaan cuaca buruk menyebabkan jurumudi bot membuat panggilan kecemasan untuk meminta bantuan,” katanya.

Beliau berkata bot mangsa kemudiannya ditunda ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan menasihati pengusaha bot agar sentiasa membuat pemeriksaan awal bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Advertisement