Anda di sini

Seorang korban tindakan keras polis Honduras: Kumpulan hak asasi

Advertisement
 Polis bertempur dengan pelajar Universiti Autonomi Kebangsaan Honduras yang membantah pelantikan semula Hernandez sebagai presiden di Tegucigalpa kelmarin. — Gambar AFP
HURU-HARA: Polis bertempur dengan pelajar Universiti Autonomi Kebangsaan Honduras yang membantah pelantikan semula Hernandez sebagai presiden di Tegucigalpa kelmarin. — Gambar AFP

TEGUCIGALPA: Seorang lelaki terkorban di Honduras kelmarin ketika polis menghalau dengan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang menghalang sebatang jalan raya dalam bantahan terhadap pelantikan semula Presiden Juan Orlando Hernandez yang dipertikaikan, kata kumpulan hak asasi.

Lelaki itu, dikenali sebagai Ismael Hernandez, “meninggal dunia apabila polis tentera melepaskan tembakan peluru hidup,” menurut penyelaras badan bukan kerajaan Jawatankuasa bagi Pembelaan Hak Asasi Manusia di Honduras, Hugo Maldonado.

Insiden itu berlaku di Choloma, sebuah pekan 190 kilometer di utara bandar Tegucigalpa.

Jurucakap polis berkata pihaknya telah cuba mengesahkan maklumat mengenai kematian yang mereka terima daripada pelbagai sumber.

Maldonado berkata kum-pulannya merekodkan lebih 20 kematian dalam keganasan dikaitkan dengan bantahan terhadap pemilihan semula presiden.

Sebuah lagi kumpulan hak asasi manusia, Jawatankuasa Saudara Mara kepada Tahanan Hilang di Honduras berkata ia mengira lebih 30 kematian.

Pada awal Januari, pejabat pendakwa raya Honduras berkata ia merekodkan 24 kematian kejam di antara tarikh pilihan raya 26 November dan 28 Disember, termasuk tiga anggota polis.

Jurucakap tentera Kolonel Jorge Cerrato memberitahu AFP pada masa itu bahawa perkhidmatannya tidak mencatatkan sebarang angka kematian orang awam.

Honduras berdepan dengan bantahan haluan kiri, Pakatan Pembangkang Menentang Pemerintahan Diktator, yang menuduh Hernandez merompak pilihan raya daripada calonnya, Salvador Nasralla, dengan memanipulasi keputusan undian. — AFP

Advertisement