Anda di sini

Polis rampas rokok, arak dan mercun bernilai kira-kira rm700,000

Advertisement
 Razarudin  (tengah) memeriksa rokok yang dirampas selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang semalam. — Gambar Bernama
TUMPAS: Razarudin (tengah) memeriksa rokok yang dirampas selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan lapan individu dan merampas pelbagai jenis minuman keras, rokok, mercun dan sejumlah wang tunai yang kesemuanya bernilai kira-kira RM700,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Penampang, dekat sini Ahad lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata kesemua individu iaitu seorang wanita dan tujuh lelaki berumur antara 24 dan 46 tahun itu ditahan di premis berkenaan kira-kira jam 4.40 petang.

Sebelum serbuan, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah menjalankan pemantauan terhadap premis berkenaan selama dua minggu dan premis itu dipercayai telah beroperasi menjadi stor transit barangan seludup berkenaan sejak setahun lepas.

Antara yang berjaya dirampas ialah 934 kotak minuman keras (tin) pelbagai jenis, 13 kotak minuman keras (botol) pelbagai jenis, 717 kotak rokok pelbagai jenis, 124 kotak mercun pelbagai jenis dan wang tunai RM66,271,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya akan meminta bantuan pihak kastam untuk mengenal pasti jumlah cukai yang terlibat dalam kes itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1967.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang suspek pecah rumah berusia 31 tahun cedera ditembak ketika cuba menyerang anggota polis dalam satu kejadian di Kampung Lokub Sepanggar, kelmarin.

Razarudin berkata dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, suspek berkenaan bersama tiga lagi suspek dipercayai cuba melakukan aktiviti pecah rumah di kawasan berkenaan namun berjaya dikesan pihak polis.

Semasa kejadian itu terjadi polis telah mengejar penjenayah terbabit sebelum kereta dinaiki suspek terbabas. Tiga suspek lain berjaya melarikan diri namun seorang daripada mereka cuba menyerang anggota polis dengan parang, sebelum cedera ditembak di bahagian kaki,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut, polis telah menahan seorang lagi suspek di kawasan Inanam kira-kira 12.30 tengah malam kelmarin dan kini dua lagi suspek masih diburu.

Suspek yang cedera ditembak kini dalam keadaan stabil dan direman selama tujuh hari sehingga 11 Feb ini,” katanya. — Bernama

Advertisement