Anda di sini

Nahas kereta api ragut dua nyawa, 100 cedera

Advertisement

Insiden di Carolina Selatan adalah yang ketiga membabitkan perkhidmatan Amtrak sejak Disember

 Pasukan kecemasan berada di tempat kejadian selepas kereta api Amtrak melanggar kereta api muatan dan tergelincir di Cayce, Carolina Selatan kelmarin. — Gambar Reuters
TERGELINCIR: Pasukan kecemasan berada di tempat kejadian selepas kereta api Amtrak melanggar kereta api muatan dan tergelincir di Cayce, Carolina Selatan kelmarin. — Gambar Reuters

CAYCE: Dua pekerja Amtrak maut dan lebih 100 lagi tercedera pada awal kelmarin apabila sebuah kereta api membawa 147 penumpang melanggar sebuah kereta api muatan di negeri Carolina Selatan di Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa.

Kereta api Amtrak 91 – dalam perjalanan dari New York ke Miami – terbabas dari landasan Cayce, luar bandar utama negeri Columbia, selepas bertembung dengan sebuah kereta api muatan CSX pada sekitar jam 2.30 pagi waktu tempatan.

Ia merupakan insiden maut ketiga melibatkan kereta api Amtrak sejak Disember, menimbulkan persoalan me-ngenai keselamatan perkhidmatan kereta api negara.

Amtrak menyatakan dalam satu kenyataan bahawa enjin utama tergelincir dari landasan bersama beberapa gerabak penumpang.

Lapan anggota kakitangan dan 139 penumpang berada di dalamnya.

Seramai 116 orang telah dibawa ke hospital kawasan tersebut bagi rawatan, ramai dengan kecederaan ringan, Gabenor Henry McMaster memberitahu wartawan. Pihak media AS melaporkan kecederaan meliputi dari luka dan lebam hingga patah tulang.

McMaster telah mengenal pasti mangsa yang terbunuh sebagai kakitangan Amtrak dan menyatakan kereta api muatan, yang statik, kelihatan sebagai kosong.

Ia kelihatan bahawa kereta api Amtrak berada di landasan yang salah,” menurut gabenor itu, ketika menyatakan bahawa satu siasatan penuh diperlukan bagi menentukan punca sebenar.

Kita memerlukan satu perbualan di seluruh negara” mengenai keselamatan perkhidmatan kereta api, tambah beliau, selepas melawat penumpang di sebuah tempat perlindungan yang ditubuhkan di sebuah sekolah oleh Palang Merah tempatan.

Ketika anda dan orang tersayang anda berkumpul di gereja dan rumah ibadat lain pada hari ini, kami meminta supaya anda berdoa bagi mereka yang terjejas dan keluarga mereka yang telah meninggal dunia,” beliau berkata dalam Twitter.

Presiden AS Donald Trump, yang berada di Florida pada hujung minggu, telah dimaklumkan dan menerima perkembangan terkini, menurut seorang jurucakap Rumah Putih.

Presiden menyatakan dalam Twitter bahawa “ingatan dan doa beliau adalah bersama semua mangsa yang terlibat dalam pertembungan kereta api pada pagi tadi di Carolina Selatan.”

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) berkata ia sedang menyiasat insiden tersebut, sementara CSX berkata kakitangannya berada di kawasan tersebut untuk membantu penguat kuasa undang-undang.

Jabatan Syerif Lexington County mengesahkan semua penumpang telah dikeluarkan.

Pihak berkuasa berkata walaupun 5,000 gelen minyak telah tumpah akibat kemalangan itu, namun ia berjaya dikawal dan tidak ada bahaya kepada orang awam.

Insiden adalah berhampiran pasar peladang ne-geri dan beberapa kawasan kediaman lain, namun buat masa sekarang semua orang adalah selamat,” kata Derrec Becker, pegawai maklumat awam di Divisyen Pengurusan Kecemasan Carolina Selatan.

Penumpang, Derek Pettaway, memberitahu CNN beliau sedang dalam perjalanan ke selatan dari Philadelphia ke Orlando dalam sebuah kabin tumpangan ketika beliau terbangun akibat impak nahas tersebut.

Tiada sesiapa yang berada dalam keadaan panik. Saya sangat pasti semua orang sedang tidur dan saya fikir mereka berada dalam keadaan terkejut,” jelasnya.

Pettaway berkata kakitangan Amtrak telah mengeluarkan penumpang dalam “ke-adaan yang sangat tenang”.

Syerif Lexington County kemudian menyatakan empat bas telah disediakan bagi membawa penumpang Amtrak ke destinasi terakhir mereka.

Doa saya adalah bersama keluarga mereka yang terbunuh dalam nahas kereta api di Lexington County pada pagi tadi, dan mengharapkan yang terbaik bagi semua mereka yang tercedera. Carolina Selatan adalah bersama anda semua!” menurut Tim Scott dalam Twitter, salah seorang daripada dua senator AS.

Ahli kongres Joe Wilson telah menggambarkan insi-den itu sebagai “menyedih-kan”.

Ia berlaku hanya beberapa hari selepas sebuah kereta api Amtrak membawa beberapa anggota perunda-ngan Republikan termasuk Speaker Dewan Paul Ryan melanggar  sebuah trak sampah di Virginia, membunuh seorang dan menyebabkan enam lagi, termasuk ahli kongres, memerlukan rawa-tan hospital.

Pada Disember, tiga orang maut apabila sebuah kereta api penumpang Amtrak tergelincir dari landasan di Washington berhampiran bandar jatuh ke atas sebuah lebuh raya dalam negeri yang sibuk.

Siasatan awal daripada perakam data kejadian di bahagian depan lokomotif menunjukkan kereta api, dalam perjalanan pertamanya di atas laluan baharu, telah memecut dengan kelajuan 80 batu sejam di sebuah zon 30 batu sejam. — AFP

Advertisement