NABAWAN: Kerajaan hari ini prihatin serta menitikberatkan soal pendidikan anak-anak dengan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk bantuan sekolah daif di negeri Sabah melalui Bajet 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata melalui peruntukan itu, kerajaan akan membaiki bumbung yang bocor, lantai yang rosak, dinding yang berlubang serta menggantikan peralatan seperti meja dan kerusi yang rosak.
“Ini bagi memastikan anak-anak kita mendapat keselesaan semasa belajar. Selain itu, bagi meringankan beban para ibu bapa, kerajaan telah meneruskan pemberian Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar dari keluarga berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga meneruskan pemberian bantuan buku teks, bantuan makanan, geran kapita dan biasiswa kecil persekutuan kepada pelajar yang layak dengan peruntukan sebanyak RM2.9 bilion.
“Anak-anak di Parlimen Pensiangan tidak terkecuali mendapat manfaat daripada peruntukan berkenaan.
“Justeru, sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang selama ini telah banyak membantu anak-anak kita untuk mendapatkan pendidikan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang dan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Akhbar Pendidikan di Pentas Utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan II pada Sabtu.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata pencapaian pendidikan di Nabawan juga amat membanggakan sejak kaedah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diterapkan dalam soalan peperiksaan.
“Pada tahun ini, sebanyak 20 sekolah telah meningkat prestasi dan satu sekolah iaitu SK Sasandukon telah berjaya mengekalkan 100 peratus tahap menguasai minimum UPSR,” katanya.
Beliau berkata sekolah-sekolah yang mengalami peningkatan tahap menguasai minimum UPSR ialah SK Simatuoh (86.67%), SK Penontomon (90.74%), SK Salong (71.21%), SK Saliliran (83.33%), SK Pementerian (91.67%), SK Sepulut (84.34%), dan beberapa sekolah lain lagi.
“Manakala bagi MTM peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), SMK Nabawan II mencatat peratusan tertinggi iaitu sebanyak 65.68 peratus dan diikuti SMK Nabawan (63.20%), SMK Sepulot (62.92%) dan K9 Pensiangan (52.32%),” katanya.
Sehubungan itu, Kurup berharap agar para guru dan pelajar akan dapat meningkatkan prestasi yang cemerlang itu pada tahun hadapan.
Beliau berkata tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan sesebuah sekolah dalam mencapai keputusan yang cemerlang adalah terletak pada gabungan kerjasama pelbagai pihak di samping adanya alat latih tubi yang menyokong sistem pembelajaran di dalam bilik darjah.
“Oleh itu, akhbar pendidikan ini sedikit sebanyak menjadi antara resepi utama kejayaan pelajar dan sekolah dalam mencapai kejayaan pada tahun lalu.
“Pada tahun ini, saya sekali lagi tampil untuk memberikan penajaan kepada 77 sekolah di Parlimen Pensiangan terdiri daripada 70 sekolah kebangsaan dan enam sekolah menengah kebangsaan serta sebuah sekolah K9. Bagi tahun yang keempat ini, sebanyak RM48,960 saya belanjakan untuk manfaat 3,956 pelajar,” katanya.
Kurup berkata ia dibuktikan dengan keputusan peperiksaan UPSR pada tahun lalu iaitu sebanyak 68 peratus atau 48 sekolah kebangsaan daripada keseluruhan 70 sekolah kebangsaan di Parlimen Pensiangan mencapai Menguasai Tahap Minimum (MTM) yang disasarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sekolah Kebangsaan Pohon Batu menduduki tangga teratas dangan 100 peratus Menguasai Tahap Minimum. Jika dilihat dari segi analisis peningkatan UPSR 2017 untuk dibandingkan dengan MTM UPSR 2016, SK Kuala Kahaba menunjukkan peratus peningkatan MTM paling tinggi sebanyak 45.27 peratus menjadi 93.75 peratus pada 2017.
Ia diikuti oleh SK Rancangan Biah, SK Kg Biah, SK Rancangan Belia Tuilon, SK Kabatang Baru dan banyak lagi sekolah yang tersenarai.
Sebelum itu, Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan Sibeh Abdul Sani berkata Pejabat Pendidikan Nabawan sentiasa berusaha tanpa rasa jemu untuk terus meningkatkan prestasi akademik di daerah itu.
“Melalui slogan ‘Nabawan Sumingkot’, Unit Pengurusan Akademik (UPA) di Pejabat Pendidikan Daerah Nabawan telah merangka pelbagai program untuk melonjakkan prestasi akademik daerah Nabawan.
“Antaranya, Program Tinauh UPSR, Tinauh SPM, Sumingkot UPSR, Jelajah Apasingkot, Dialog Prestasi Akademik, Karnival PAK21 dan Program Coaching & Mentoring SIPartners / SISC+,” katanya.
Beliau berkata prestasi akademik dalam peperiksaan awam bagi daerah Nabawan menampakkan peningkatan yang amat jelas di mana Gred Purata Daerah (GPD) untuk UPSR meningkat daripada 2.96 (2014) kepada 2.79 (2015); dan peratus kelulusan UPSR dari 38.53% (2016) kepada 41.01 (2017).
“Begitu juga dengan peperiksaan SPM, prestasi daerah Nabawan terus meningkat dengan GPD 6.73 (2014), 6.73 (2015) kepada 6.31 (2016). Sebagai makluman tambahan, prestasi STPM daerah Nabawan juga terus meningkat dari 2.11 (2014), 2.23 (2015) kepada 2.37 (2016),” katanya.