Anda di sini

Kerajaan hargai komitmen majikan mengutamakan aspek keselamatan

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri amat menghargai komitmen majikan yang sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, kesihatan serta kebajikan pekerja dengan mewujudkan tempat kerja yang kondusif dan selamat.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata, dengan komitmen dan kesungguhan sedemikian, ia dapat mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

Kita amat berharap kadar kemalangan di tempat kerja akan terus menurun hingga ke satu tahap, setanding dengan negara maju yang lain.

Suka saya tekankan bahawa kerajaan negeri Sabah amat peka terhadap isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan memandangkan di negeri ini turut terdapat banyak industri bertaraf multi-nasional yang berisiko tinggi, di samping industri kecil dan sederhana yang sama-sama membawa pembangunan untuk negeri Sabah,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Musbah Jamli yang mewakili Musa merasmikan penutupan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ahli Majlis Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), di sini pada Sabtu.

Mengenai seminar itu, Musa berkata CUEPACS mengambil langkah-langkah awal yang tepat dalam membantu kerajaan merumuskan mekanisme daripada aspek pengurusan dalam menangani isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang sentiasa memberi kesan bukan sahaja kepada pekerja itu sendiri, malah kepada keluarga pekerja apabila sesuatu musibah berlaku.

Beliau yakin seminar berkenaan sedikit sebanyak akan mendedahkan peserta kepada kefahaman setiap agensi yang terlibat dalam kesihatan pekerjaan.

Ini bagi membolehkan gagasan, hasrat, perkembangan semasa sesuatu perancangan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam negara dapat dikongsi secara terus dan tulus serta bermaklumat.

Justeru, saya berharap agar program seumpama ini akan dapat diadakan secara berterusan ke arah merealisasikan hasrat mempromosi keselamatan dan kesihatan demi menjaga kepentingan pekerja, sekali gus menjamin produktiviti tinggi dan menjana kemakmuran ekonomi yang berkekalan,” katanya.

Hadir sama pada majlis ialah Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda.

Advertisement