Anda di sini

Jet pejuang tentera Rusia terhempas di Syria

Advertisement
 Gambar yang diperolehi dari media sosial menunjukkan tempat kejadian di mana jet pejuang Rusia ditembak jatuh pemberontak dekat Idlib kelmarin. — Gambar Reuters
TERBAKAR: Gambar yang diperolehi dari media sosial menunjukkan tempat kejadian di mana jet pejuang Rusia ditembak jatuh pemberontak dekat Idlib kelmarin. — Gambar Reuters

Pesawat ditembak jatuh pemberontak di Idlib, juruterbang mati dalam pertempuran

SARAQIB: Seorang juruterbang Rusia terkorban kelmarin setelah jet pejuangnya terhempas di barat laut Syria, menurut badan pemerhati dan kementerian pertahanan Rusia.

 Hayat Tahrir al-Sham (HTS), pakatan yang didominasi pemberontak menyatakan dalam rangkaian media bersekutu bahawa mereka telah menembak jatuh sebuah jet pejuang Rusia, namun tidak menyebut tentang juruterbangnya.

 “Kami telah berjaya menjatuhkan sebuah jet pejuang Rusia dengan misil yang ditembak dari paras bahu di atas Saraqib di Idlib tengah hari ini,” menurut Mahmoud al-Turkmani yang menurut kepada kenyataan tersebut mengetuai briged pertahanan udara HTS.

 Beliau menyatakan serangan itu sebagai serangan balas terhadap kempen pengeboman kejam jet pejuang Rusia di Idlib.

 HTS, yang didominasi bekas sekutu Al-Qaeda di Syria, mengawal Idlib dan cuba menyerang balas serangan sengit pasukan tentera kerajaan Syria dibantu Rusia.

 Koresponden AFP yang tiba di kawasan nahas kelmarin melihat sebuah bangkai pesawat yang hangus, termasuk bahagian sayap dengan satu bintang merah kelihatan.

 Anggota bomba tiba untuk memadam api yang mengeluarkan asap gelap di ruang udara Syria.

 Kementerian pertahanan Rusia mengesahkan sebuah jet pejuang Su-25 telah ditembak jatuh di wilayah Idlib dan juruterbangya terkorban dalam pertempuran menentang pengganas.

 “Sebuah pesawat Rusia Su-25 terhempas semasa penerbangan di zon Idlib.

 “Juruterbangnya mempunyai masa mencukupi untuk memaklumkan beliau telah melonjak keluar ke dalam zon tersebut,” kata pihak kementerian pertahanan.

 “Juruterbang terbabit kemudian terkorban dalam pertempuran menentang pengganas,” jelasnya, dipetik beberapa agensi berita Rusia.

 Ia menambah bahawa berdasarkan laporan awal, pesawat itu ditembak jatuh sistem misil antipesawat yang mudah bergerak.

 Jabatan Negara AS menyatakan ia amat bimbang dengan laporan mengenai senjata sebegitu telah digunakan.

 Jurucakap Heather Nauert memberitahu, jalan penyelesaian adalah kembali kepada rundingan diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva dan Rusia wajar berdepan dengan komitmennya dalam perkara tersebut.

 Washington mempunyai lebih 2,000 anggota tentera di Syria yang bertugas bersama pejuang antipemberontak Kurdis dan Arab, serta melakukan serangan udara terhadap pelampau.

 Syrian Observatory for Human Rights menyatakan jet itu ditembak jatuh berhampiran pekan Saraqib di Idlib dan juruterbangnya keluar menggunakan payung terjun ke darat.

 Beliau terkorban ketika bertempur dengan pihak pemberontak semasa mereka cuba menahannya sebagai tebusan, menurut Observatory yang berpusat di Britain.

 “Terdapat beberapa serangan udara Rusia di kawasan sepanjang 24 jam lepas.

 “Pesawat ini turut melakukan serangan di sana,” kata Abdel Rahman.

 Observatory menyatakan 20 termasuk lapan kanakkanak terkorban kelmarin dalam pengeboman ke atas Saraqib dan kampung sekitar.

 Kebangkitan Syria bermula pada 2011 dengan bantahan terhadap pemerintahan Assad namun bertukar menjadi perang rumit yang menarik kuasa global.

 Moscow mula melancarkan serangan udara di Syria pada Disember 2015 dan campur tangannya menjadikan konflik tujuh tahun semakin memihak kepada sekutunya Damsyik.

 Pihak pembangkang menembak jatuh pesawat rejim Syria sebelum ini, namun jarang sekali menjatuhkan pesawat Rusia.

 Turki menembak jatuh sebuah pesawat perang Rusia pada November 2015, membawa kepada krisis terburuk hubungan antara kedua-dua negara sejak tamatnya Perang Dingin.

 Pada Ogos 2016, helikopter tentera Rusia ditembak jatuh di Syria, mengorbankan kesemua lima di dalamnya.

 Rusia mengetuai desakan diplomatik lebih setahun untuk cuba membekukan pertempuran selaras dengan rakan sekutu rejim Iran dan penyokong pemberontak Turki.

 Ankara menyokong beberapa kumpulan pemberontak yang menentang kerajaan Syria, kumpulan pejuang jihad Islamic State (IS) dan militia Kurdis yang disenarai hitam sebagai pengganas.

 Pada 20 Januari, Turki dan pejuang pemberontak bersekutu memulakan serangan terhadap kawasan Afrin di Syria yang dikawal Unit Perlindungan Rakyat Kurdis (YPG).

 Tujuh anggota tentera Turki terkorban kelmarin sebagai sebahagian serangan, termasuk lima orang yang meninggal dunia dalam satu serangan tunggal ke atas sebuah kereta kebal, menurut pihak tentera Turki.

 Observatory turut mengira 104 pemberontak dan 102 pejuang YPG terkorban sejak serangan bermula, termasuklah 68 orang awam.

 — AFP

Advertisement