LABUAN: Bilangan penyu yang mendarat di Taman Laut Labuan berkurangan 33 peratus pada 2016 berikutan beberapa ancaman termasuk peningkatan pelantar minyak berdekatan taman itu dan aktiviti penangkapan ikan tanpa kawalan.
Pengarah Taman Laut Labuan Anuar Deraman berkata keadaan yang membimbangkan itu perlu ditangani secara berkesan bagi mengelak jumlahnya terus berkurangan.
“Walaupun pendaratan penyu karah meningkat 18 peratus di pantai taman laut kita, pendaratan penyu pada keseluruhannya telah berkurangan. Kami berharap agar tapak pendaratan itu tidak akan musnah,” katanya kepada Bernama.
Pulau-pulau seperti Kuraman, Rusukan Besar dnd Rusukan Besar merupakan rumah bagi penyu karah (Eretmochelys Imbricata), penyu lipas (Lepidochelys olivacea) dan penyu agar (Chelonia Mydas), dengan 12 tempat bertelur ditemui di sepanjang pantai, tahun lepas.
“Lampu yang terang dari pelantar minyak pada waktu malam boleh mengganggu pergerakan penyu berkenaan untuk bertelur di taman laut di sini.
Sebagai tambahan, terdapat kes kematian penyu dilaporkan oleh orang awam akibat terperangkap dalam jaring hanyut dan terkena kipas enjin bot,” kata Anuar.
Dengan wujudnya ancaman kepada pantai berkenaan, ia akan mengurangkan kawasan pantai untuk penyu bertelur di taman laut pulau ini sehingga mengurangkan bilangan penyu karah yang merupakan spesies terancam.
Beliau juga berkata kayu hanyut yang ditemui di kawasan pantai taman laut yang berlaku pada Oktober hingga Februari setiap tahun juga menghalang pendaratan penyu.
Menurut seorang ahli biologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Juanita Joseph dalam kenyataannya sebelum ini, implikasi daripada keadaan itu adalah apabila jumlah kawasan pembiakan penyu tempatan hilang, ia akan lenyap buat selama-lamanya.
“Ini kerana (kebanyakan) penyu hanya kembali untuk membiak di pantai tempat kelahiran mereka. Mereka mungkin mengembara ribuan batu untuk mencari makanan, merentas sempadan, namun semua penyu akan kembali ke kawasan tempat kelahiran untuk bertelur dan membiak,” katanya. - BERNAMA
