Anda di sini

Remaja perempuan maut dalam kemalangan

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tuaran Bypass, dekat sini kelmarin.

Mangsa Nabila Jimos, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata mangsa yang duduk di sebelah pemandu kereta jenis Perodua Bezza perak telah tercampak keluar ke pembahagi jalan di simpang pusingan-U Kampung Kalansanan, menyebabkan mangsa maut.

“Lima lagi remaja perempuan yang turut menaiki kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu kereta Perodua Bezza biru hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kereta jenis Honda City yang terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Chandra berkata siasatan awal mendapati kereta Perodua Bezza warna perak yang dinaiki mangsa dikatakan membuat pusingan U dan terlanggar sebuah Perodua Bezza warna biru dari arah belakang.

“Pada masa yang sama sebuah lagi kereta Honda City dipandu lelaki berusia 50 tahun yang datang dari arah belakang terlanggar Perodua Bezza warna biru,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Traffik Insp Chong Chee Wah di talian 016-3032030. — Bernama

Advertisement