Anda di sini

Lebih 17,000 guna Monorel Melaka sejak beroperasi semula

Advertisement
 Lebih 17,000 penumpang tempatan dan luar negara menggunakan kemudahan perkhidmatan Monorel Melaka sejak ia kembali beroperasi pada 4 Disember lepas, selepas hampir empat tahun digantung perkhidmatannya. — Gambar Bernama
MONOREL MELAKA: Lebih 17,000 penumpang tempatan dan luar negara menggunakan kemudahan perkhidmatan Monorel Melaka sejak ia kembali beroperasi pada 4 Disember lepas, selepas hampir empat tahun digantung perkhidmatannya. — Gambar Bernama

MELAKA: Lebih 17,000 penumpang tempatan dan luar negara menggunakan kemudahan perkhidmatan Monorel Melaka sejak ia kembali beroperasi pada 4 Disember lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Monorail Theme Park and Studios Sdn Bhd, Lim Boon Peng berkata pihaknya optimis untuk menarik lebih ramai penumpang sejajar pelaksanaan pelbagai projek secara berperingkat bagi meningkatkan perkhidmatan monorel itu.

Ini termasuk pembinaan taman tema serta menaik taraf kawasan laluan monorel yang terletak di tepi Sungai Melaka tersebut, katanya.

Malah, menurut Lim, perkhidmatan monorel yang disasarkan sebagai produk pelancongan utama negeri itu, disasarkan menarik sekurang-kurangnya 2 juta penumpang setahun apabila semua projek naik taraf yang melibatkan kos sekitar RM109 juta siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

“Kami merancang menyediakan kafe berkonsepkan kereta api selain bazar produk tempatan termasuk cenderamata dan kraf tangan di sekitar Stesen Monorel Tun Ali yang menelan kos kira-kira RM500,000.

“Projek yang dijangka siap selewat-lewatnya akhir bulan ini akan membolehkan  pengunjung merasai pengalaman seolah-olah berada dalam kereta api sambil menikmati hidangan tempatan,” katanya kepada Bernama.

Perkhidmatan Monorel Melaka itu beroperasi dari 10 pagi-10 malam setiap hari itu dan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam pada Jumaat dan Sabtu.

Tiket yang boleh dibeli di kaunter di Aras Satu, Stesen Monorel Tun Ali itu berharga RM15 seorang untuk dewasa, RM12 untuk warga emas dan kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas, RM10 bagi pelajar berpakaian seragam sekolah serta orang kelainan upaya.

Ia yang dibina dengan kos kira-kira RM16.5 juta, beroperasi pada 20 Oktober 2010 namun perkhidmatannya digantung pada 2013 sebelum kembali beroperasi tahun lepas.

Perkhidmatan itu mampu membawa seramai 24 penumpang bagi laluan sehala dan mengambil masa kira-kira 30 minit bagi jarak perjalanan sejauh tiga kilometer.

Salah seorang penumpangnya, Nurul  Atikah Baharuddin, 22, berkata sebagai anak jati Melaka, beliau  enggan melepaskan peluang mencuba perkhidmatan itu.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menghidupkan semula operasi Monorel Melaka. Ia tidak hanya memberi manfaat kepada ekonomi negeri ini bahkan masyarakat setempat,” kata pelajar Universiti Teknologi MARA kampus Perlis itu.

Farwizah  Nazura Mohd Fadzli, 20, dari Kota Bharu, Kelantan berkata pula teruja apabila dapat menyaksikan pemandangan serta keindahan bandar raya itu dari atas monorel.

“Selain itu, rasa seronok apabila adanya kemudahan ‘photo booth’ bagi merakam gambar kenangan kami sekeluarga.

“Adalah diharapkan laluan ini dapat diperluaskan lagi ke lokasi pelancongan strategik lain yang menjadi alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya. — Bernama

Advertisement