Anda di sini

Enjin tempahan Malaysia akan diwujudkan

Advertisement

KOTA KINABALU: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan mewujudkan enjin tempahan Malaysia untuk memudahkan pelancong melakukan carian dan tempahan penginapan serta khidmat pelancongan di negara ini.

Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang berkata enjin tempahan yang pertama seumpamanya di Malaysia itu dijangka akan dilancarkan pada tahun 2019.

“Kami merancang menyediakan medium yang menggabungkan khidmat ejen pelancongan dan perhotelan dalam satu laman web yang berkapasiti besar.

“Usaha ini dilakukan bersama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Industri Komputer & Multimedia Malaysia (PIKOM).

“Kami akan membuka tender untuk memilih vendor pada Mac depan. Selepas itu, barulah kami akan mulakan ‘programming’. Tender ini terbuka kepada semua penggiat industri di Malaysia mahupun penyedia khidmat pelancongan di luar negara.

“Ia mungkin akan mengambil masa enam hingga sembilan bulan untuk disiapkan sebelum enjin tempahan ini dilancarkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha menyediakan enjin tempahan Malaysia (Malaysian booking engine).

Beliau berkata demikian semasa Bengkel Strategi Pemasaran Digital Pelancongan Matta, di sini pada Khamis.

Menurutnya, pada masa ini setiap ejen mempunyai laman sesawang tersendiri jadi agak sukar untuk mereka bersaing dengan penyedia khidmat tempahan yang berkapasiti besar seperti agoda mahupun booking.com.

Atas sebab itulah, Malaysia perlu menghasilkan enjin tempahan sendiri yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan. Ia bagi memudahkan pelancong yang datang ke Malaysia menguruskan segala tempahan berkaitan dengan penginapan dan pakej pelancongan yang diperlukan.

Langkah itu juga seiring dengan usaha menyokong industri untuk Kempen Tahun Melawat Malaysia pada 2020.

Tan berkata langkah mewujudkan enjin tempahan itu diambil berikutan kebergantungan pelancong dari seluruh dunia kepada teknologi.

“Berdasarkan laporan Tourism Malaysia, 89.9 peratus pelancong dalam dan luar negara menggunakan Internet bagi mendapatkan maklumat berkaitan destinasi pelancongan, ulasan dan perkongsian pengalaman pelancong.

“Sebanyak 28.8 peratus pengguna mendapatkan maklumat melalui enjin carian, 27 peratus melalui laman web, 13.9 peratus melalui travel review sites, 11.8 peratus melalui sosial media, 11.1 penyedia khidmat pelancongan atas talian dan 3.7 peratus blog pengembara,” katanya.

Berkenaan bengkel itu, Tan berkata ia diadakan bagi menggalakkan ahli MATTA di negeri ini memanfaatkan ekonomi digital bagi menambah baik strategi pemasaran digital masing-masing.

Ditanya keahlian MATTA, beliau berkata 70 peratus daripada lebih 5,000 ejen pelancongan di Malaysia adalah ahli MATTA. Di Sabah, terdapat 525 ejen pelancongan menjadi ahli MATTA.

Turut hadir Pengerusi MATTA Sabah Lawrence Chin dan Naib Presiden Pendidikan & Latihan MATTA Christina Kong @Wahida.

Advertisement