Anda di sini

Tipu pakej percutian, ibu anak tiga didakwa lagi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Baharu sahaja didakwa dua hari lalu di Mahkamah Petaling Jaya atas  pertuduhan menyalahgunakan wang pakej percutian ke Korea lebih RM27,000, semalam ibu anak tiga didakwa lagi di Mahkamah Majistret Ampang bersama seorang rakannya atas pertuduhan serupa dan memperdaya dua individu berhubung pakej sama.

Wanita itu, Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 36, dan rakannya Noraini Nordin, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A.Raof.

Nor Farah Farhan yang memakai baju kurung biru pada mulanya tenang dan tersenyum sebaik wajahnya dirakam jurugambar ketika dibawa masuk ke bilik bicara, namun tiba-tiba dilihat terketar-ketar sambil memegang kerusi ketika pertuduhan dibacakan.

Wanita itu juga dilihat hampir terjatuh dan setelah selesai prosiding dan dibawa ke lokap, dia memberitahu polis bahawa dia berasa mahu pitam.

Bagi pertuduhan pertama, Nor Farah Farhan dan Noraini didakwa bersama-sama menyalahgunakan harta milik Che Ajar Mat, 46, iaitu wang berjumlah RM8,187 untuk pembayaran pakej pelancongan ke Korea di Cimb Pandan Indah, Ampang, di sini pada 6 petang, 14 Jan 2017.

Nor Farah Farhan turut didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta Sabariah Mohamed, 47, iaitu wang berjumlah RM3,620 dengan memindahkan wang itu ke akaun Maybank atas nama Syarikat Azam Impian Resources untuk pembayaran pakej pelancongan ke Korea, di Apartment Seri Hijau, Ukay Perdana pada jam 5.25 petang, 2 Feb 2017.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Nor Farah Farhan juga dituduh menipu Noor Azah Aziz, 61, dengan memperdayakan mangsa sehingga mendorongnya memasukkan wang RM16,900 ke dalam akaun Maybank tertuduh di  Lorong Mawar 1, Taman Maju Jaya, Jalan Cheras, di sini pada 11 malam, 30 Dis 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie menawarkan wang jaminan berjumlah RM20,000 terhadap Nor Farah Farhan bagi tiga pertuduhan manakala RM10,000 ke atas Noraini yang menghadapi satu pertuduhan.

Peguam Muhd Aizat Fakri yang mewakili Nor Farah Farhan memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya kini tidak bekerja sejak ditahan polis manakala suaminya bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dengan pendapatan RM3,000 sebulan serta menyara tiga anak termasuk seorang yang menghidap leukemia.

Mahkamah membenarkan Nor Farah Farhan diikat jamin berjumlah RM10,700 bagi semua pertuduhan manakala Noraini  yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin RM5,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Mac dan 13 Mac untuk sebutan semula kesemua pertuduhan. — Bernama

Advertisement