Anda di sini

Tiga pengedar dadah ditahan, polis rampas syabu bernilai RM5,900

Advertisement
 Ladamah (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek warga asing pada Isnin.
HASIL RAMPASAN: Ladamah (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek warga asing pada Isnin.

PAPAR: Polis berjaya menahan tiga pengedar dadah dan merampas dadah jenis syabu seberat 60.97 gram yang bernilai RM5,900 dalam tiga serbuan berasingan di sini sepanjang Januari.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintenden Ladamah Sulaiman berkata salah satu siri tangkapan yang direkodkan membabitkan seorang warga asing berumur 29 tahun.

“Sebaik dihampiri suspek cuba melarikan diri namun tindakan pantas anggota kita berjaya menahan suspek di salah satu lorong di Skim Penempatan Kinarut kira-kira jam 12.10 tengah malam Isnin.

“Hasil pemeriksaan terhadap badan suspek berjaya menjumpai 14 peket plastik kecil yang mengandungi ketulan hablur jernih di dalam poket seluarnya dipercayai dadah jenis syabu.

“Polis turut merampas bungkusan plastik yang mengandungi dua peket besar syabu yang dibuang oleh suspek semasa dikejar anggota polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada Rabu.

Menurutnya rampasan dadah syabu seberat 50.25 gram yang bernilai hampir RM6,000 terbabit dipercayai untuk diedarkan kepada penagih di kawasan Penampang dan di sini sejak enam bulan lalu.

Tambahnya tangkapan itu juga adalah yang terbesar berjaya direkodkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Papar bagi bulan Januari.

“Suspek kini ditahan di lokap IPD Papar untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Ladamah berkata kejayaan tangkapan suspek yang dikehendaki polis itu susulan tangkapan dua lelaki masing-masing berumur 21 dan 29 tahun mengikut Seksyen 39A ADB 1952.

“Serbuan pertama pada awal Januari berjaya menahan seorang lelaki warga asing berumur 21 tahun di lokasi sama dan merampas syabu seberat 5.38 gram.

“Hasil tangkapan itu membawa kepada penahanan suspek warga tempatan berumur 29 tahun di lokasi sama dan merampas syabu seberat 5.34 gram pada 24 Januari, seterusnya berjaya menahan pengedar utama dadah di kawasan sekitar,” katanya.

Sepanjang bulan ini, pihaknya turut menahan seramai 83 individu terbabit penyalahgunaan dadah dan merampas syabu seberat 75.48 gram.

“Kejayaan ini adalah usaha mengekang penyalahgunaan dadah di Papar sehingga meningkatkan jumlah tangkapan berbanding hanya 20 tangkapan pada 2016,” katanya.

Advertisement