Anda di sini

Salah guna dadah, lelaki didenda

Advertisement

MIRI: Gara-gara menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa, seorang lelaki didenda RM4,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh dua tahun.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Syukri Suboh, 41, dari Kampung Haji Wahid di sini didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.35 malam, 25 Jun 2010 di rumahnya di Kampung Haji Wahid di sini.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama yang boleh membawa denda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta- merta dikehendaki menjalani pengawasan pihak berkuasa selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement